SHAH ALAM - Melemparkan tuduhan kafir harbi sewenang-wenangnya kepada orang lain akan memberi kesan negatif kepada perpaduan negara.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan menasihatkan umat Islam di Malaysia untuk menggunakan istilah yang bersesuaian.
"Orang beriman tidak sebegitu akhlaknya. Sentiasa berhati-hati dengan setiap tutur katanya. Umat Islam hendaklah berada atas Mazhab Ahlus Sunnah wal Jamaah mengamalkan pendekatan wasatiyah penuh kesantunan serta berakhlak mulia.
"Kita perlu berhati-hati dalam penggunaan istilah. Pengklasifikasian ulama kontemporari cukup jelas bahawa bukan Muslim yang tinggal di sesebuah negara dan menikmati hak serta tanggungjawab adalah warganegara yang terikat dengan undang-undang dan perlembagaannya. Mereka adalah muwatinun (warganegara)," katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Zulkifli memaklumkan, rakyat Malaysia sepatutnya menjadikan Ogos sebagai peluang untuk menghayati keamanan yang dikecapi sejak zaman dahulu dengan tidak menimbulkan sebarang kontroversi melibatkan sensitiviti.
"Bulan kemerdekaan ini sepatutnya menjadi medan untuk kita menginsafi nikmat keamanan di negara kita, lalu memupuk perpaduan, bukannya saling mengapi-apikan permusuhan hanya semata-mata berbeza ideologi politik.
"Rakyat Malaysia perlu menolak pemikiran ghuluw (melampaui batas) yang bahaya ini. Suburkan Malaysia dengan al-Taayush al-Silmi kewujudan bersama secara damai," ujarnya.
Sebelum ini media melaporkan, seorang individu telah mengeluarkan kenyataan yang menyatakan DAP merupakan kafir harbi di Malaysia menerusi program ceramah Pas dan Perikatan Nasional (PN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri.
Susulan daripada kejadian itu, DAP menggesa individu terbabit untuk tampil membuat permohonan maaf kerana tuduhan yang dilemparkan boleh disifatkan sebagai perbuatan takfiri terhadap ahli parti berkenaan yang beragama Islam.