Seleweng dana syarikat, tiga termasuk GCEO direman empat hari

Iklan
Tiga suspek termasuk seorang GCEO disyaki seleweng dana syarikat dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya bagi permohonan reman pada Jumaat.

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman tiga individu termasuk seorang Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) disyaki menyeleweng dana RM1.5 juta pada Jumaat.

Menurut sumber, dana itu milik sebuah syarikat tersenarai awam membabitkan projek pembinaan dan perlombongan bernilai kira-kira RM80 juta.

Iklan
Iklan

Sumber berkata, perintah reman selama empat hari sehingga Isnin dikenakan ke atas dua suspek lelaki dan seorang wanita berusia 40 hingga 50-an.

"Reman dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin, selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Jumaat.

Iklan

"Kesemua suspek telah ditahan sekitar jam 7 petang hingga 9 malam pada Khamis ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Putrajaya," katanya pada Jumaat.

Kata sumber, siasatan awal mendapati kesemua suspek bukan sahaja disyaki menyeleweng dana RM1.5 juta milik sebuah syarikat tersenarai awam membabitkan projek pembinaan dan perlombongan bernilai kira-kira RM80 juta, malah ketiga-tiganya turut dipercayai terlibat dalam menubuhkan sebuah syarikat yang tidak diluluskan oleh Ahli Lembaga Pengarah bagi tujuan menjalankan projek kerjasama yang bernilai kira-kira RM258 juta.

Iklan

Selain itu menurutnya, mereka juga disyaki terlibat menyeleweng dana kutipan sewaan hartanah milik syarikat tersebut bernilai kira-kira RM3 juta.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan tangkapan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.