GENTING GAZA - Umm Omar akan ‘menelefon’ arwah suaminya sekali sehari demi anak perempuan mereka yang berusia empat tahun dan masih belum mengerti bahawa bapanya sudah tiada setelah terkorban dalam kempen genosid di Genting Gaza.
"Ella tetap mahu bercakap dengan bapanya. Saya terpaksa berpura-pura suami saya masih hidup,” kata ibu kepada tiga anak itu yang kini berlindung di ‘zon selamat’ ciptaan Israel di al-Mawasi.
Lebih 10 bulan telah berlalu sejak perang Gaza tercetus, hampir seluruh kawasan binasa sepenuhnya dan bau mayat ada di mana-mana kerana kematian berlaku hampir setiap hari yang menyaksikan angka korban kezaliman rejim Zionis melepasi 39,700 orang, selain kira-kira 1.9 juta daripada 2.3 juta penduduk Palestin hilang tempat tinggal.
Perang Gaza kini sudah berlarutan lebih 300 hari dan tiada tanda akan reda. Wabak penyakit berjangkit juga menular dengan cepat ketika wilayah berkenaan berdepan wabak polio yang semakin membimbangkan.
Komuniti antarabangsa pula lebih memberi tumpuan kepada ancaman perang baharu yang mungkin tercetus antara pejuang Hizbullah, Iran dan Israel di Asia Barat setelah pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh gugur syahid di Teheran pada minggu lalu.
Hal itu kerana ia berisiko menyebabkan konflik lebih meluas dan berpotensi merebak ke rantau lain.
Di bawah arahan pemindahan paksa baharu pada Rabu, ribuan penduduk Palestin di Beit Hanoon dan Beit Lahiya sekali lagi meninggalkan kawasan berkenaan.
"Demi keselamatan masing-masing, pindah segera ke tengah Bandar Gaza,” ujar jurucakap Pasukan Pertahanan Israel (IDF) ketika mengarahkan kumpulan itu menuju ke Salah al-Din.
Sebelum ini, rejim Zionis tergamak menembak mati dan menahan penduduk Palestin yang melalui ‘koridor selamat’ untuk berpindah.
Stesen penyiar Israel, Channel 12 melaporkan IDF merancang operasi darat berskala besar di Bandar Gaza ketika ofensif di enklaf itu terus diperhebat.
Pada Khamis, seorang penganalisis di Israel berpendapat IDF masih jauh ketinggalan untuk mencapai objektif Perang Gaza.
"Hamas adalah sebuah gerakan yang kekal bertahan dan menjadi lebih kuat meskipun berdepan serangan bertalu-talu musuh. Hamas tetap hidup dan mesin perang Israel gagal menggugat kedudukan mereka,” kata komentator hal ehwal Arab, Ohad Hamo.
Di tengah-tengah perang masih sengit, Israel sekali lagi mengundang kemarahan Palestin apabila Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich mempertahankan tindakan zalim mereka membiarkan dua juta orang awam kebuluran di Gaza, selain pendedahan perbuatan kejam rejim Zionis yang melakukan serangan seksual terhadap tahanan.