RHB Lekas Highway Ride 2024 dalam kelas tersendiri

Iklan
Penganjur bersama barisan penaja selepas sidang akhbar RHB Lekas Highway Ride 2024.

EDISI kesembilan perlumbaan RHB Lekas Highway Ride 2024 pada 12 Oktober depan mencuri tumpuan apabila 6,500 peserta menyahut cabaran, paling ramai sejak dianjurkan 2016 berbanding edisi sebelum ini yang menyaksikan penyertaan 6,000 peserta.

Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RHB Banking Group, Mohd Rashid Mohamad berkata, pihaknya gembira apabila jumlah penyertaan edisi kali ini mendapat sambutan menggalakkan peserta dalam dan luar negara.

Iklan
Iklan

"RHB Lekas Highway Ride acara flagship RHB Rides mempromosikan senaman berimpak rendah menekankan komitmen kami terhadap gaya hidup sihat, inklusiviti, dan penglibatan komuniti.

"Tahun ini, kami memperkenalkan elemen baharu memperkayakan pengalaman, memupuk semangat komuniti, mempromosikan gaya hidup aktif, dan meningkatkan ekosistem kayuhan basikal.

Iklan

"Melalui sokongan berterusan kami, lebih RM4 juta disalurkan kepada komuniti yang kami layani pada 2023 untuk inisiatif pembangunan, memberi impak positif kepada kehidupan lebih daripada 50,000 individu,” katanya.

Jarak laluan sejauh 120 kilometer (km) dipendekkan kepada 105km Ride Kompetitif, dengan laluan bercerun curam 250 meter pada petanda 23km, membolehkan pengayuh basikal elit menyempurnakan cabaran dan menikmati aktiviti di tapak acara.

Iklan

Jarak laluan popular, 78km, mencabar peserta meningkatkan masa kompetitif terbaik masing-masing.

Sementara itu, kategori baharu tahun ini, 17km Open Ride, memberikan pengalaman istimewa kepada pengayuh basikal berusia 17 tahun ke atas.

Pengayuh basikal praremaja dan remaja berusia antara 10 hingga 16 tahun yang berminat untuk menjadi juara roda boleh memilih jarak laluan 17km atau 12km.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan & Pengarah Urusan IJM Corporation Berhad, Lee Chun Fai, berkata, penganjuran merupakan usaha memupuk gaya hidup sihat dan membina komuniti cergas.

Jelasnya, acara bukan hanya berbasikal, tetapi juga membawa pelbagai lapisan masyarakat bersama berkongsi pengalaman unik dan istimewa.

Katanya, pihaknya berusaha meningkatkan keselamatan, keseronokan, dan inklusiviti setiap edisi

"Kami sangat berterima kasih atas usaha gigih rakan kongsi dan sokongan padu komuniti yang membolehkan kami menawarkan para peserta pengalaman berbasikal yang selamat dan tidak dapat dilupakan di lebuhraya tertutup sepenuhnya pada sebelah malam.

"Sukan adalah keutamaan dalam semua inisiatif pelaburan komuniti IJM. Untuk tahun kedua berturut-turut, kami menyumbang RM50,000 kepada Majlis Paralimpik Malaysia untuk menyokong Paralimpik Paris 2024, yang akan berlangsung dari 28 Ogos hingga 8 September 2024,” katanya.