MEDAN - Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun berdepan detik cemas apabila dia ditembak individu tidak dikenali ketika memasang sepanduk di pekarangan pejabat Pos Belawan Bahagia, Kecamatan Medan Belawan pada Khamis.
Kejadian berlaku semasa Riski Pohan,16, bersama rakannya memasang sepanduk ucapan 'Dirgahayu Kemerdekaan Indonesia', sebelum tiba-tiba didatangi sebuah van putih yang berhenti di seberang jalan bertentangan dengan pejabat pos tersebut.
Iklan
Iklan
"Kira-kira jam 2,30 petang, seorang penumpang yang duduk di kerusi belakang membuka tingkap van, kemudian menembak mangsa dan kawan-kawannya. Mangsa terkena tembakan di bahagian belakang, sebelah kanan," kata Ketua Polis Pelabuhan Belawan AKBP, Janton Silaban pada Jumaat.
Tambah Janton, selepas insiden, van itu kemudiannya segera meninggalkan lokasi.
Mangsa kemudiannya dibawa ke hospital oleh kawan-kawannya dan dirujuk ke hospital pakar Haji Adam Malik Medan.
Jelas Janton lagi, berdasarkan keterangan saksi, mangsa memasang sepanduk atas arahan Ketua Ranting Pemuda Pancasila Belawanbahari iaitu Amat Klewang.
"Dalam kejadian itu juga dipastikan bahawa pelaku melepaskan tembakan sebanyak tujuh kali, pihak kami sedang melakukan siasatan lanjut secara terperinci di lokasi kejadian dan sedang mencari suspek," katanya lagi. - Agensi