Felcra nafi dakwaan jual kilang

Iklan
Felcra Berhad menempelak dakwaan berhubung penjualan yang berlaku terhadap kilang di bawah kendali syarikat berkenaan kerana ia masih menjalankan operasi harian seperti biasa.

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Felcra Berhad menafikan dakwaan berhubung penjualan yang berlaku terhadap kilang di bawah kendali syarikat berkenaan kerana ia masih menjalankan operasi harian seperti biasa.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Idris Lasim berkata, sehingga kini pihak pengurusan mengesahkan tiada sebarang cadangan penjualan telah dikemukakan kepada Lembaga Pengarah untuk kelulusan.

Iklan
Iklan

"Sebarang dakwaan di media sosial yang mengaitkan Pengerusi Felcra, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub dengan penjualan kilang kepada mana-mana pihak adalah tidak benar. Kami menjalankan operasi perkilangan dan kejuruteraan, termasuk pengoperasian kilang pemprosesan kelapa sawit.

"Terdapat lima kilang pemprosesan buah kelapa sawit yang beroperasi secara milikan penuh dan diuruskendalikan iaitu Kilang Sawit di Seberang Perak, Perak; Maran, Pahang; Sungai Melikai, Johor; Bukit Kepong, Johor dan Felcra Nasaruddin, Perak.

Iklan

"Sehingga kini tiada sebarang penjualan yang berlaku terhadap kilang tersebut dan ia masih kekal beroperasi seperti biasa," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini media melaporkan, Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali Chegu'bard mendakwa Felcra dalam proses mewujudkan entiti baharu syarikat usahasama bagi memiliki kilang di bawah syarikat berkenaan.

Iklan

Menurutnya, bahawa melalui syarikat usahasama itu, Felcra hanya pemegang minoriti dan syarikat pemegang majoriti yang akan membuat keputusan.

Tambah Chegubard, menerusi perjanjian tersebut, Felcra hanya dijanjikan RM1.5 juta setahun berbanding beberapa kilang sebelum ini yang mendatangkan keuntungan lebih jauh.

Sementara itu, Idris menegaskan, Felcra akan terus memberikan komitmen untuk berkhidmat kepada masyarakat dan memastikan bahawa kepentingan semua pihak terlibat sentiasa diutamakan demi memperkukuhkan kedudukan syarikat dalam industri pengilangan hasil agrikomodit.

"Selepas 27 tahun dikorporatkan, kami telah berjaya mengagihkan melebihi RM8.11 billion agihan keuntungan kepada hampir 107 ribu orang peserta di seluruh Malaysia.

"Selain itu, Felcra turut membangunkan tanah secara komersil serta menceburi bidang agromakanan," ujarnya.