GUA MUSANG - Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dicabar untuk menunjukkan bukti atas dakwaan kononnya Perikatan Nasional (PN) menggunakan jentera kerajaan negeri dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri.
Pengarah Operasi PN PRK Nenggiri, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya bersedia untuk menerima teguran sekiranya benar mereka berbuat demikian.
"Tunjukkan kalau kita ada (buat). Tegurlah. Kita akan baikilah kalau ada, jangan sebut sahaja tapi tak ada bukti.
"(Namun) saya dah muat naik dalam Facebook sayabukti penyalahgunaan bangunan dan kenderaan kerajaan (oleh BN)," dakwanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berucap pada Ceramah Perdana PRK Nenggiri di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) Jeram Tekoh di sini pada Jumaat malam.
Annuar yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat mendakwa dewan milik Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dijadikan sebagai markas BN selain kereta milik agensi kerajaan Persekutuan turut digunakan untuk berkempen.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri terdahulu mendakwa kerajaan negeri Kelantan juga mungkin menggunakan aset negeri ketika berkempen susulan wujud tuduhan BN berbuat demikian.
"Saya akan lakukan siasatan perkara itu dan kalau ada bukti, mereka (PN) boleh kemuka (tuduhan) ikut saluran perundangan, ikut Akta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
"Jangan menuduh kita sahaja guna jentera kerajaan tetapi bagaimana pula kerajaan Kelantan, saya pasti ada," katanya selepas program bertemu penduduk di Renok Baru.
Susulan itu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud mengingatkan BN supaya tidak menyalahgunakan aset atau jentera kerajaan semasa berkempen untuk calon mereka di PRK Nenggiri.
Mohd Nassuruddin berkata, pertembungan dalam satu-satu pilihan raya berkenaan biarlah hanya melibatkan jentera antara parti bertanding.
Katanya, kerajaan Kelantan juga mengarahkan semua jenteranya tidak digunakan untuk berkempen di Nenggiri.