'Harapkan abang ipar untuk dapatkan gambaran sebenar kejadian'

Iklan
Suasana pilu menyelebungi keluarga dan saudara-mara mangsa yang berada di pekarangan Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di Muar pada petang Jumaat.

MUAR - Bapa kepada salah seorang daripada tiga sekeluarga yang maut dalam kebakaran di Kampung Paya Redan, Pagoh, pada awal pagi Jumaat, mengharapkan abang iparnya dikenali sebagai 'Azman' untuk mendapatkan gambaran sebenar kejadian.

Norhasyim Mohd Taher, 43, berkata, ketika kejadian kebakaran itu berlaku, dia berada di Kuala Krai, Kelantan kerana menghantar rempah ratus sejak Rabu lalu.

Iklan
Iklan

Jelasnya, pada mulanya dia menerima panggilan daripada jirannya pada jam 1.40 pagi menyatakan anak tirinya, Norazima Mohd Radhi, 14, mengalami luka di kepala namun, beberapa minit kemudian menerima panggilan memaklumkan rumahnya pula terbakar.

"Saya cuba hubungi salah seorang jiran bertanya mana satu yang betul. Waktu itu, saya minta pertolongan mereka untuk mencarikan Azman kerana dialah yang saya harapkan untuk jaga anak-anak serta ibu bapa mentua.

Iklan

"Tapi, malangnya, saya dimaklumkan Azman dah tiada. Motosikal dan topi keledar pun tidak kelihatan," katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik, Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini pada petang Jumaat.

Norhasyim berkata, dia kemudian bergegas pulang ke Muar dengan memandu van dan tiba di HPSF pada jam 5.45 petang.

Iklan

Dalam kejadian itu, selain anaknya, Noradriana, 11, turut terkorban ibu bapa mentuanya, Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, dan Ara Abdul Hamid, 76, makanala Norazima terselamat selepas bertindak keluar dari rumah dan meminta bantuan saudara yang tinggal berdekatan.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya sedang mencari Azman Mohamed 48, yang gagal dikesan sehingga kini bagi membantu siasatan berhubung kes kebakaran tersebut.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan, tiga sekeluarga maut apabila rumah didiami mereka musnah terbakar dalam kejadian di Jalan Sekolah, Kampung Paya Redan, Pagoh di sini.

Dalam pada itu, Nor Hasyim berkata, malam sebelum kejadian, dia ada menghubungi Noradriana dan memintanya memberitahu ibu bapa mentua agar memakai pakaian cantik kerana pada Sabtu akan bergerak ke Bukit Gambir, Muar.

"Kedua ibu bapa mentua teringin sangat untuk ke sana kerana sudah lama tidak berjumpa adiknya (bapa saudara Noradriana). Kami bercadang untuk menyewa kereta ke sana tapi apakan daya hajat kami tidak kesampaian," katanya.

Nor Hasyim berkata, dua anaknya itu tinggal bersama datuk dan nenek selepas ibu mereka meninggal dunia akibat kanser empat tahun lalu.

"Selama ini, sepanjang ketiadaan saya, dua beradik itulah yang menjaga datuk dan nenek memandangkan mereka sudah berusia.

"Norazima dan adik (Noradriana) sangat rajin, suka berkawan dan tidak pernah mendatangkan masalah kepada keluarga. Selepas ini tiada lagi kedengaran suaranya," katanya.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan, tiga sekeluarga maut apabila rumah didiami mereka musnah terbakar dalam kejadian di Jalan Sekolah, Kampung Paya Redan, Pagoh di sini.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, sepasang suami isteri warga emas dan cucu perempuan mereka maut manakala seorang lagi cucu cedera.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhlis Aziz berkata, mangsa yang maut di lokasi kejadian ialah Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, dan Ara Abdul Hamid, 76 manakala, seorang lagi kanak-kanak iaitu cucu kepada pasangan berkenaan, Noradriana Nor Hisyam, 11, dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).