MUAR - Suasana pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Redan, Pagoh di sini sepanjang proses pengebumian Noradriana Nor Hasyim, 11, yang maut bersama datuk dan neneknya dalam kebakaran pada awal pagi Jumaat.
Sebelum itu, jenazah Allahyarham Noradriana disolatkan lebih 100 ahli keluarga dan penduduk kampung pada jam 9.58 pagi di Masjid Jamek Kampung Paya Redan, Pagoh.
Jenazah selamat dikebumikan pada kira-kira jam 10.38 pagi di sebelah pusara ibunya, Allahyarham Nurul Armizah Mohamed Nor yang meninggal dunia empat tahun lalu.
Sementara itu bapa Allahyarham, Norhasyim Tahir, 43, mengucapkan terima kasih kepada penduduk yang membantu urusan pengebumian terbabit.
Beliau turut memaklumkan urusan tuntutan jenazah ibu bapa mentua, Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, dan Ara Abdul Hamid, 76, hanya dapat dilakukan selepas ujian asid deoksiribonukleik (DNA) selesai.
"Saya difahamkan pihak Hospital Pakar Sultanah Fatimah akan lakukan ujian DNA.
"Kemungkinan hari ini waris terdekat akan diambil sampel darah mereka," katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi pada Jumaat, selain Noradriana, datuk dan neneknya, Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, dan Ara Abdul Hamid, 76, turut terkorban dalam kebakaran selepas rumah didiami mereka di Kampung Paya Redan, terbakar.
Seorang lagi cucu mereka, Norazima Mohd Radhi, 14, mengalami kecederaan pada kepala dan kini dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar.