KUALA TERENGGANU - Seorang pelumba jet ski yang terjatuh dan tenggelam selepas jentera dipandunya dipercayai terbalik di Sungai Terengganu berdekatan Taman Tamadun Islam (TTI) di sini ditemukan lemas pada pagi Sabtu.
Mayat mangsa, Abdullah Abdul Mubin, 44, yang hilang sejak pagi Jumaat dijumpai anggota penyelamat sekitar jam jam 9.28 pagi.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mayat mangsa yang juga seorang mekanik ditemukan terapung di permukaan air kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.
"Mayat mangsa ditemui pasukan penyelamat yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa sejak semalam (Jumaat).
"Mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini untuk proses bedah siasat," katanya di sini pada Sabtu.
Menurut Azli, operasi pencarian mangsa yang melibatkan 87 pegawai dan anggota pelbagai agensi penyelamat termasuk orang awam serta dua ekor anjing pengesan (K9) milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditamatkan jam 10 pagi tadi.
Media pada Jumaat melaporkan seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh ketika menguji jentera berkenaan di lokasi berkenaan sekitar jam 8 pagi.
Ketika kejadian, mangsa dikatakan menguji jentera berkenaan sendirian sebelum jentera dinaiki hilang kawalan dan terbalik menyebabkan mangsa terjatuh dan gagal dikesan.