Kemudahan ATM di Nenggiri akan disegerakan - MOF

Iklan
Lebih 30,000 penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri memerlukan kemudahan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan stesen minyak untuk kelangsungan hidup mereka.

SHAH ALAM - Kementerian Kewangan (MOF) akan menyegerakan pengaktifan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Gua Musang, Kelantan bagi memenuhi keperluan asas rakyat di kawasan tersebut.

Kementerian itu dalam satu kenyataan memaklumkan, ia susulan perbincangan pihaknya dengan beberapa bank tempatan mendapat respons positif.

Kemudahan ATM di Nenggiri akan disegerakan. Gambar hiasan.

Iklan
Iklan

"MOF mengambil maklum laporan yang diterima berkenaan kesukaran penduduk DUN Nenggiri untuk mendapatkan akses ATM dan perlu ke Gua Musang yang terletak sejauh 50 kilometer (km) dari kawasan mereka.

"Pengaktifan perkhidmatan ATM ini akan disegerakan bagi memenuhi keperluan penduduk setempat dan usaha ini akan diperluas bagi memastikan semua rakyat dapat menerima kemudahan asas ini," kata kementerian itu dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, lebih 30,000 penduduk di DUN Nenggiri memerlukan kemudahan ATM dan stesen minyak untuk kelangsungan hidup mereka.

Tinjauan mendapati penduduk mendakwa mereka perlu ke bandar Gua Musang sejauh lebih 50km dan memandu hampir 45 minit untuk ke mesin ATM berhampiran.

Iklan

Malah ada yang perlu menaiki bot sejauh 30 minit kemudian menaiki kereta api selama sejam semata-mata untuk mendapatkan kemudahan mesin ATM.

Sementara itu, MOF dalam kenyataan sama berkata, pihaknya juga akan mengadakan sesi libat urus dengan bank-bank tempatan secara berterusan bagi mengenal pasti penambahbaikan yang boleh dilaksanakan terutama dalam memastikan akses kepada perkhidmatan ini dapat diperluaskan.

Katanya, orang ramai yang menghadapi kesukaran seumpama ini di kawasan mereka boleh menghubungi MOF melalui ukk@treasury.gov.my atau talian 03-8000 8000.