KUANTAN - Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang akan meneliti keperluan untuk melaksanakan tindakan penguatkuasaan lebih tegas terhadap perokok tidak bertanggungjawab membuang puntung rokok di tempat tumpuan ramai termasuk kawasan pantai di negeri ini.
Pengarahnya, Sharudin Hamid berkata, langkah itu sebagai satu peringatan kepada orang ramai agar tidak membuang sampah merata-rata walaupun sampah kecil seperti puntung rokok.
Menurutnya, sebelum ini pihak SWCorp Pahang pernah mengambil tindakan termasuk mengeluarkan kompaun terhadap individu yang membuang puntung rokok melalui operasi anti litter bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan pantai peranginan di sini.
"Bagaimanapun masih ada segelintir masyarakat yang masih mengambil mudah dan terus membuang sampah beracun itu sesuka hati menyebabkan sisa itu antara sampah yang paling mudah ditemui.
"Walaupun kecil, puntung rokok ini bukan sahaja memburukkan pandangan, malah boleh mendatangkan impak jangka panjang terhadap alam sekitar dan ekosistem di kawasan pantai," katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.
Sharudin berkata, SWCorp Pahang akan bekerjasama dengan pelbagai agensi termasuk PBT dan Jabatan Kesihatan Negeri melalui operasi bersepadu bagi meningkatkan kesedaran masyarakat dan menghentikan tabiat membuang puntung rokok di kawasan pantai.
"Pahang mempunyai pantai yang luas dan panjang justeru agar sukar untuk memantau atau menjalankan tindakan penguatkuasaan setiap masa.
"Justeru orang ramai dinasihatkan untuk lebih bertanggungjawab menjaga khazanah alam termasuk pantai -pantai di negeri ini agar sentiasa bersih dan terpelihara," katanya.
Justeru katanya, selain pemasangan papan tanda larangan membuang sampah, peringatan larangan merokok di kawasan pantai juga boleh diambil pihak-pihak berkaitan bagi memastikan kawasan pantai bebas asap rokok.
"Langkah itu bukan sahaja memberi keselesaan kepada pengunjung malah dapat membantu menyelesaikan. masalah sampah puntung rokok di kawasan pantai seperti yang berlaku ketika ini," ujarnya.