SHAH ALAM - Kerajaan negeri akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi memudah cara proses pendaftaran taska, tadika serta pusat jagaan di Selangor.
Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari berkata, pihaknya menerima aduan daripada pengusaha perkhidmatan itu berkaitan masalah ketidakseragaman syarat dan kriteria untuk pendaftaran serta kelulusan agensi teknikal.
Iklan
Iklan
Menurutnya, jawatankuasa khas yang dibentuk kelak akan menumpukan perhatian kepada membangunkan garis panduan baharu yang seragam dan akan diguna pakai di seluruh negeri.
"Garis panduan tersebut akan mengambil kira standard minima yang ditetapkan di dalam Akta dan Peraturan Berkuatkuasa serta garis panduan sedia ada yang telah dikeluarkan oleh Kementerian dan agensi Persekutuan," katanya pada Sabtu.
Beliau berkata, ketika ini sebanyak 983 taska dan 738 pusat jagaan berdaftar manakala bagi yang tidak berdaftar pula membabitkan 226 taska dan 123 pusat jagaan.
"Jawatankuasa khas ini akan melihat kesesuaian untuk tambah baik garis panduan atau wujud undang-undang kecil (UUK) baharu.
" Insya-ALLAH, kami sentiasa komited untuk menyokong perkembangan ekonomi jagaan seterusnya menyumbang kepada pembentukan ekosistem mesra keluarga di Selangor," katanya