LIPIS - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan dirinya adalah dalang utama menjatuhkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ketika itu dalam usaha menyelamatkan tindakan pengharaman parti tersebut.
Menurutnya, tindakan luar biasa terbabit terpaksa dilakukan untuk menolak Dr Mahathir yang ingin mengharamkan UMNO.
"Apabila mengetahui UMNO mahu diharamkan dan ini disahkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika di ILMU, Janda Baik...kertas pengharaman telah berada di atas meja Menteri Dalam Negeri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) ketika itu.
"Jadi dalam situasi itu, tentunya semua ahli apatah lagi kepimpinan UMNO mengharapkan pada saya bagaimana cara terbaik supaya UMNO tidak diharamkan," katanya.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata sedemikian ketika ucapan perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Cameron Highlands di Dewan UMNO bahagian di Sungai Koyan di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Ketua Bahagian tersebut.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid juga mengingatkan perwakilan ketika ucapan penangguhan beliau di Perhimpunan Agung UMNO pada 2018.
"Saya menyatakan bahawa dalam masa terdekat kita akan menjadi sebahagian daripada kerajaan tetapi saya diejek beberapa individu tertentu yang tiada dalam UMNO.
"Maka dalam keadaan itu, di Jelai, di Sungai Koyan di sini, saya mesti menyatakan, mengakui adalah dalang utama yang menjatuhkan Tun Dr Mahathir ketika itu, demi UMNO mana mungkin diharamkan, dihina dan dijatuhkan dengan pelbagai fitnah," ujarnya.
Katanya, segala kisah tersebut akan diperincikan dalam sebuah buku selepas ini.
"Tadi saya cerita hanya 10 peratus 90 peratus dalam buku saya, lazimnya tulis buku ialah orang pencen tapi saya belum nak pencen lagi selagi UMNO bukan parti dominan, selagi itu saya dan rakan-rakan terus dalam UMNO.
"Mudah-mudahan ia jadi panduan kepada pemimpin-pemimpin UMNO akan datang yang akan ambil alih tempat saya nanti," tambahnya lagi.