Kim Swee lega Sabah berjaya bawa pulang tiga mata

Iklan
Daniel Ting meraikan jaringan bersama pemain Sabah semasa aksi Liga Super menentang Pahang di Temerloh. Foto Sabah FC

SABAH FC mengakui terpaksa berdepan tekanan hebat Sri Pahang FC sebelum membawa pulang tiga mata ketika menewaskan tuan rumah 3-2 pada aksi Liga Super di Stadium Temerloh pada Jumaat.

Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata, skuad Tok Gajah kendalian Fandi Ahmad menampilkan persembahan berbeza pada babak kedua yang menyaksikan tuan rumah banyak mencipta dan berpeluang menjaringkan gol selepas ketinggalan.

Iklan
Iklan

"Kita melihat keputusan ini amat positif dan baik buat Sabah tetapi pada babak kedua Sri Pahang berjaya memperolehi gol pada awal permainan.

"Ini memberi kita banyak tekanan terutama di bahagian pertahanan manakala Sri Pahang mendapat begitu banyak peluang tetapi mereka gagal menyempurnakannya,” katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan.

Iklan

Kim Swee berkata, dia gembira kejayaan The Rhinos membawa pulang tiga mata berharap pemain-pemain skuad berupaya mengekalkan rentak konsisten pada setiap perlawanan selepas ini.

"Ya, kedudukan kita di dalam liga agak baik pada ketika ini, tetapi ia masih terlalu awal yang mana jurang mata antara kelompok kedua, ketiga, keempat, kelima dan keenam masih rapat.

Iklan

"Pemain perlu beraksi konsisten terutamanya di tempat lawan dan ia menentukan kedudukan kita pada akhir saingan Liga Super,” katanya.

Gol The Rhinos dihasilkan menerusi jaringan Jafri Firdaus Che minit ke-18’, Farhan Roslan (m-26) dan Daniel Ting (m-35) manakala jaringan Tok Gajah pula dijelmakan menerusi Kpah Sherman pada minit keenam dan minit ke-48.

Sabah akan berdepan Selangor di Stadium Likas pada 13 Ogos depan yang juga perlawanan perebutan kedudukan kedua terbaik liga musim ini.