Bryan tak jangka Nur Dhabitah lakukan kesilapan agak besar

Iklan
Penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri ketika beraksi dalam acara 3 Meter papan anjal Wanita Akhir pada Sukan Olimpik Paris 2024 di Centre Aquatique, pada Jumaat. Foto Bernama

PENGARAH teknikal skuad terjun negara, Bryan Nickson Lomas tidak menyangka penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri melakukan kesilapan agak besar di pertengahan saingan akhir acara 3 meter (m) papan anjal wanita, pada Sukan Olimpik Paris 2024, semalam.

Bryan berkata, walaupun Nur Dhabitah menampilkan aksi tidak menentu pada percubaan ketiga dan keempat yang dianggap sebagai ‘terjunan lemahnya’ (dari segi kemahiran), namun ada ketikanya penerjun berusia 25 tahun itu mampu melakukan lebih baik pada sesi latihan.

Iklan
Iklan

"Kami sememangnya ramal dia dapat skor 280 mata di Paris, malah semasa simulasi di United Kingdom (kem latihan akhir menjelang temasya) Nur Dhabitah capai 272.80 mata namun kami tak jangka kesilapan agak besar berlaku pada terjunan ketiga dan keempat pada aksi final semalam.

"Sebenarnya pusingan awal dan separuh akhir nampak terjunan lemah Nur Dhabitah namun tiada markah 40 ke bawah and masih boleh diterima. Jika anda mahu berjuang untuk kedudukan lapan terbaik atau pingat, terjunan lemah perlu bagus dan jika mahu selamat perlu raih 55 mata ke atas, itu standard Nur Dhabitah,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Iklan

Nur Dhabitah sekadar mengumpul 244.80 mata keseluruhan untuk berada di kedudukan ke-12 selepas lima terjunan di Pusat Akuatik Olimpik di Paris.

Srikandi terjun negara itu bermula baik dengan meraih 63.00 dan 60.00 mata bagi terjunan pertama dan kedua untuk meletakkan dirinya dalam perebutan pingat.

Iklan

Namun, percubaan terjunan ‘back 2½ somersaults’ membawa padah apabila hanya mendapat 37.50 mata, manakala kesilapannya dalam percubaan ‘reverse 2½ somersaults’ menyaksikan beliau hanya meraih 28.50 mata, sebelum memperbaiki prestasinya untuk meraih 55.80 mata pada terjunan terakhir.

Ditanya mengapa pemenang lima kali pingat Sukan Asia itu kurang menyerlah pada percubaan ketiga dan keempat, Bryan menjelaskan mana-mana penerjun sememangnya akan menampilkan terjunan mereka yang lemah bagi kedua-dua percubaan tersebut.

"Susunan terjunan (sebegini) dilakukan salah satunya untuk beri tanggapan baik kepada pengadil. Jika terjunan pertama dan kedua bagus (menunjukkan) ada potensi manakala terjunan lemah (jika berjaya) akan bagi tanggapan yang baik kepada pengadil untuk beri markah lebih baik,” katanya.

Di sebalik keputusan Nur Dhabitah pada Paris 2024, Bryan berkata, atlet dari Kuala Lumpur itu tetap mempamerkan peningkatan walaupun mendapat kedudukan terakhir dalam aksi final.

Bekas Olimpian negara itu berkata, prestasi dipamerkan Nur Dhabitah, yang beraksi menerusi kuota tidak digunakan atlet negara lain, sebenarnya lebih baik berbanding terjunannya pada Kejohanan Akuatik Dunia 2024 di Doha, Februari lepas apabila hanya mengutip 238.15 mata sekali gus gagal layak secara merit ke Olimpik Paris.

"Secara jujurnya, selepas Doha dia agak kurang keyakinan namun dari segi persediaan termasuk menjalani kem latihan akhir di United Kingdom sangat bagus,” katanya.

Sementara itu, Bryan berkata, masih banyak aspek perlu diperbaiki penerjun muda, Bertrand Rhodict Lises selepas penampilan sulungnya di Olimpik berakhir pada pusingan awal.

Bertrand gagal menempatkan diri dalam kelompok 18 terbaik untuk ke separuh akhir acara 10m platform lelaki selepas menduduki tempat ke-25 daripada 26 peserta pada pusingan itu dengan meraih 313.70 mata.

Menurut Bryan antara penekanan buat Bertrand selepas ini adalah memperbaiki proses latihan dan persediaan mental atlet dari Sarawak itu, namun beliau memuji komitmennya yang mengambil risiko mempelajari darjah kesukaran baharu iaitu 3.6 dan 3.7 dalam masa singkat.

"Bagaimanapun, mungkin Bertrand terlalu fokus pada terjunan baharu and ambil mudah dengan terjunan lain, kerana itu kesilapan berlaku,” katanya.

Pencapaian Nur Dhabitah dan Bertrand di Paris 2024 menyaksikan kem terjun negara pulang tangan kosong dari Sukan Olimpik buat kali kedua berturut-turut selepas Tokyo 2020. - Bernama