Tampil berani buat laporan, dedah anggota polis salah guna kuasa

Iklan
Tampil berani buat laporan, dedah anggota polis salah guna kuasa. Gambar hiasan.

SHAH ALAM - Orang ramai diminta berani membuat laporan atau pendedahan umum sekiranya berhadapan dengan situasi salah guna kuasa oleh mana-mana anggota polis.

Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof berkata, tindakan dua anggota peronda yang memeras ugut wang seorang peniaga burger sambilan jelas melanggar amanah diberi dan menggugat kredibiliti pihak polis.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, tidak dinafikan insiden berkenaan menghakis kepercayaan orang awam terhadap imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Lebih dikesali, ia turut mencemarkan nama baik anggota keselamatan lain yang menjalankan tugas secara jujur, ikhlas dan penuh tanggungjawab.

Iklan

"Kredibiliti penjawat awam juga buruk secara keseluruhannya. Maka, orang awam perlu lebih berani membuat pendedahan.

"Hal ini supaya sebahagian anggota yang suka ambil kesempatan tidak berleluasa. Gejala sebegini perlu ditolak dengan keras tanpa tolak ansur,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Iklan

Sebelum ini, media melaporkan dua anggota polis peronda yang disyaki melakukan pemerasan wang ditahan pada Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, anggota terbabit ditahan sehari selepas pengadu membuat laporan berhubung kejadian itu.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan daripada peniaga berusia 22 tahun yang dikatakan diminta wang oleh suspek ketika ingin menghantar pesanan pelanggan.

Hoong Fong memaklumkan, dalam kejadian kira-kira jam 1.10 pagi pada 6 Ogos itu, mangsa yang sedang menaiki motosikal ditahan oleh suspek di Lebuh Raya Shah Alam (KESAS) sebelum susur keluar ke Bandar Puteri, Klang.

Difahamkan, semasa pemeriksaan, anggota terbabit mendapati cukai jalan motosikal mangsa tamat tempoh dan dipercayai menggunakan kesalahan tersebut untuk meminta sejumlah wang bagi mengelakkan daripada disita.

Setelah berbincang, mangsa telah memasukkan wang tunai sebanyak RM90 ke dalam plastik berisi burger dan menyerahkan kepada suspek.

Kes disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda atau sebat atau mana-mana daripada dua hukuman berkenaan.