Pencuri kabel cuba langgar polis, lima das tembakan dilepaskan

Iklan
Anggota polis menjalankan siasatan di lokasi sekumpulan penjenayah dipercayai terlibat kegiatan mencuri kabel sebelum diberkas pada Sabtu.

KAJANG - Tindakan empat individu dipercayai terlibat kegiatan mencuri kabel sebelum cuba melanggar anggota polis ketika dikejar mengundang padah apabila diberkas dekat Balakong di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, laporan berkaitan kejadian terbabit diterima Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang kira-kira jam 6.05 pagi.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, empat suspek terbabit menaiki dua buah kenderaan iaitu Nissan Frontier dan BMW dipercayai secara sengaja dan agresif melanggar kenderaan dinaiki anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang.

Anggota polis menjalankan siasatan di lokasi sekumpulan penjenayah dipercayai terlibat kegiatan mencuri kabel sebelum diberkas pada Sabtu.

"Ketika kejadian anggota terbabit sedang melakukan rondaan serta operasi melibatkan kegiatan mencuri kabel di lokasi kejadian sebelum terserempak dengan dua kenderaan dinaiki suspek.

Iklan

"Anggota polis terlibat kemudiannya melepaskan lima das tembakan ke arah kenderaan dinaiki suspek selepas diarahkan supaya berhenti sebelum suspek bertindak melanggar kenderaan dinaiki anggota polis terlibat," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Katanya, susulan itu kesemua suspek berjaya diberkas selepas kenderaan dinaiki mereka berjaya ditahan.

Iklan

"Empat suspek berumur lingkungan 28 hingga 36 tahun itu turut dikesan memiliki pelbagai rekod jenayah dan dadah.

"Tangkapan dijalankan turut merampas dua kenderaan milik suspek serta beberapa peralatan digunakan untuk mencuri kabel," katanya.

Menurutnya, tiada kecederaan atau kehilangan jiwa berlaku ketika kejadian.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah curi kabel ini diminta menyalurkan maklumat kepada polis dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Mohd Afiq Farhan Mohd Nor di talian 012-2446768 bagi membantu siasatan," katanya.