KANADA mencipta kejutan apabila merangkul pingat emas di Sukan Olimpik Paris menerusi acara berganti-ganti 4x100m lelaki, sekali gus menjadi emas pertama negara itu dalam acara trek di temasya kali ini.
Andre De Grasse menjadi tumpuan apabila beliau menewaskan atlet Afrika Selatan, Akani Simbine di pusingan terakhir untuk memastikan kemenangan Kanada dengan catatan masa 37.50 saat.
Iklan
Iklan
De Grasse berganding bahu bersama Aaron Brown, Jerome Blake dan Brendon Rodney untuk mengungguli perlumbaan kali ini.
Afrika Selatan terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas mencatat masa 37.57 saat, manakala Britain memenangi gangsa dengan 37.61 saat.
"Saya rasa sangat hebat. Bersama dengan rakan-rakan seperjuangan yang sudah saya anggap sebagai saudara, kami telah berjuang bersama sejak awal lagi.
"Kami sudah lama impikan saat ini dan akhirnya kami berjaya mencapainya. Saya sangat bersyukur," kata De Grasse.
Kejayaan ini turut memperbaiki pencapaian Kanada di Sukan Olimpik Tokyo, yang hanya berjaya meraih pingat perak. - Bernama