Pemuda Tenom bangga perkenal pakaian, tarian Sabah depan Menara Eiffel

Iklan
Ken Vun dengan pakaian tradisi suku kaum Kadazandusun menari tarian Sumazau di hadapan Menara Eiffel di Paris.

TIDAK hanya sekadar memakai samping dan tanjak tetapi pemuda berasal dari Tenom yang sanggup 'terbang' ke Paris bagi menyaksikan temasya sukan Olimpik Paris 2024 turut membawa pakaian tradisi suku kaum Kadazandusun untuk dipertontonkan kepada dunia.

Lebih mengagumkan, Yap Ken Vun, 36, yang juga berbangsa Cina langsung tidak kekok mengenakan pakaian bercirikan baju kebangsaan dan tradisional sebelum memuat naik videonya yang sedang menari Sumazau dengan pakaian tersebut di hadapan Menara Eiffel di Paris.

Iklan
Iklan

Sejak dimuat naik di media sosial TikTok miliknya enam hari lalu, video Ken Vun berdurasi 21 saat yang turut tular itu mendapat 48,600 tanda suka dan 574 komen daripada pengguna aplikasi tersebut.

Beliau ketika dihubungi Sinar Harian berkata, dia yang kini sudah kembali ke tanah air setelah berada di kota Paris selama seminggu bagi menyaksikan aksi atlet negara yang berjuang untuk Malaysia dalam sukan bertaraf dunia itu.

Iklan

"Dalam video itu saya memakai baju tradisional Kadazandusun. Ini pertama kali saya membawa baju tradisional Sabah untuk temasya sukan.

Ken Vun berpeluang merakam kenangan selepas Lee Zii Jia berjaya meraih pingat gangsa.

"Pada mulanya tiada dalam perancangan untuk membawa baju tersebut sebab tidak tahu mahu cari di mana memandangkan saya bekerja di Selangor.

Iklan

"Selepas mencarinya di Facebook, akhirnya saya dapat juga cari dan menyewanya di DJS Tagaroh Tailor di mana pemiliknya ada menyediakan baju tradisi yang boleh disewa iaitu dua hari lagi sebelum saya bertolak ke Paris," katanya pada Sabtu.

Menurutnya, dia hanya terfikir untuk membawa pakaian tradisi tersebut kerana mahu membuat kelainan kali ini.

"Saya mahu memperkenalkan kebudayaan Sabah di bumi Paris, Perancis. Seperti yang kita tahu temasya Olimpik ini disertai oleh penyokong dari seluruh dunia, jadi inilah masa yang sesuai untuk kita perkenalkan sambil menyokong atlet Malaysia.

"Tetapi saya tidak sangka pula ia menjadi tular di media sosial," katanya.

Ken Vun ketika berada di dalam stadium Arena Porte De La Chapelle bagi memberikan sokongan kepada atlet negara dalam acara badminton.

Ditanya mengenai pengalaman menyaksikan acara di temasya sukan tersebut, Ken Vun berpeluang berada di dalam stadium Arena Porte De La Chapelle bagi acara badminton dan di stadium Stade De France untuk acara olahraga.

"Di stadium satu lagi, saya sempat menyaksikan acara 100 meter daripada jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi untuk pusingan awal dan saringan.

"Selepas itu, dalam acara lompat galah saya dapat menonton aksi juara dunia atlet Sweden, Armand Duplantis dan juara dunia bagi acara larian 100 meter oleh pelari pecut Amerika Syarikat (AS), Noah Lyles," katanya.

Walaupun kini sudah mulai kembali bekerja sebagai Eksekutif Sumber Manusia di sebuah syarikat perkilangan, beliau menganggap pengalamannya kali ini antara yang termanis dan sukar dilupakan.