MIC kecewa BN gagal jaga parti komponen

Iklan
Saravanan

SUNGAI SIPUT - Barisan Nasional (BN) yang berada di dalam Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan ketika ini dilihat gagal membela nasib parti-parti komponennya terutama MIC dan MCA.

Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan berkata, tidak seperti PH, mereka membela parti-parti komponen tidak kira sama ada DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Iklan
Iklan

Menurutnya, hanya UMNO dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) yang merupakan parti kecil di Sabah mendapat pembelaan di dalam BN sementara parti bersifat kebangsaan seperti MIC dan MCA dipinggirkan.

"BN walaupun kita sokong Kerajaan Perpaduan sebagai en-bloc tetapi saya tidak lihat pendekatan yang sama atau semangat yang sama daripada kepimpinan BN. Kita tidak salahkan Perdana Menteri tapi kita lihat kepimpinan BN gagal membela nasib parti-parti komponen BN.

Iklan

"Dalam BN hanya ada empat parti. UMNO dibela, satu parti kecil dari Sabah pun diberi ruang tetapi parti-parti kebangsaan seperti MIC dan MCA yang telah memperjuangkan kemerdekaan negara ini bersama-sama BN tidak diberi ruang," katanya kepada pemberita selepas Konvensyen MIC Negeri Perak kali ke-78 di Pusat Konvensyen Tun S Samy Vellu di sini pada Sabtu.

Hadir sama merasmikan majlis itu, Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran.

Iklan

Ditanya mengenai kedudukan MIC dalam BN, Saravanan berkata, perkara itu terpulang kepada perwakilan sama ada mahu membawa usul tersebut di dalam Perhimpunan Agung MIC akan datang.

Beliau turut mengakui memang ada tekanan daripada penyokong dan pemimpin akar umbi mengenai masa depan MIC bersama BN.

Sementara itu, Saravanan turut mendedahkan bahawa terdapat pelawaan daripada parti luar BN untuk menyertai mereka.

"Kita masih ikhlas dengan BN sebab semangat BN masih ada. Kita tidak mahu hilangkan semangat BN sebab satu dua individu. BN bukan kepunyaan mana-mana parti, setiap kita hanya ada empat parti sahaja.

"Setiap parti ada undi dan BN punya pendirian konsensus, kalau satu parti tidak setuju pun tidak boleh buat, kena ingat itu," katanya.

Media sebelum ini melaporkan Vigneswaran dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa MIC perlu membuat keputusan berhubung kedudukannya dalam BN terlebih dahulu sebelum membincangkan soal pengagihan kerusi untuk Pilhan Raya Umum (PRU) akan datang.

Dalam majlis sama, Bendahari Agung MIC, Tan Sri M Ramasamy sebagai Pengerusi MIC Perak yang baharu menggantikan Datuk V Elango.

Saravanan berkata, dengan pelantikan baharu itu diharap akan memberikan nafas baharu kepada MIC Perak kerana negeri tersebut amat penting bagi MIC.