Kerajaan negeri tawar ganjaran RM1 bagi 1kg ikan bandaraya

Iklan
Amirudin merasmikan Sambutan Hari Air Sedunia Peringkat Selangor di Tasik Pandan Perdana pada Sabtu.

AMPANG - Kerajaan Selangor menawarkan program pemberian ganjaran RM1 bagi tangkapan sekilogram ikan bandaraya.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, inisiatif tersebut dijalankan sebagai langkah mengurangkan populasi ikan berkenaan di sungai-sungai di Lembah Klang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, program akan berlangsung selama sebulan bermula 1 September hingga 1 Oktober ini.

"Program ini membabitkan sungai-sungai di kawasan Lembah Klang yang kaedah pelaksanaannya akan diperincikan nanti," katanya ketika Sambutan Hari Air Sedunia Peringkat Selangor di Tasik Pandan Perdana dekat sini pada Sabtu.

Iklan

Turut hadir, Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri, Izham Hashim dan Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin

Ikan bandaraya merupakan spesies invasif yang menjejaskan spesies habitat ikan asli di perairan tempatan.

Iklan

Hampir semua sungai di Lembah Klang termasuk tasik dan lombong kini terjejas dengan kebanjiran spesies itu termasuk Sungai Klang, Sungai Langat dan Sungai Selangor.

Dalam perkembangan berasingan, Amirudin berkata, kerajaan negeri komited meningkatkan langkah pencegahan terhadap permasalahan yang memberi impak dan gangguan kepada operasi Loji Rawatan Air (LRA).

Beliau berkata, kerajaan negeri juga mengambil beberapa inisiatif bagi menghadapi sebarang kemungkinan ketika musim kemarau pada masa hadapan.

"Setakat 6 Ogos lalu, kapasiti takungan air di semua empangan Selangor sangat baik dengan enam empangan mencapai kapasiti melebihi 90 peratus.

"Sebanyak 80 peratus Empangan Klang Gates bertindak dwifungsi iaitu sebagai tebatan banjir dan bekalan air," katanya.

Jelasnya, jangka hayat kapasiti takungan berkenaan mampu menampung untuk membekalkan air mentah di kesemua 34 loji LRA seluruh Selangor dalam tempoh enam bulan tanpa hujan.

Tambahnya, kerajaan negeri juga telah mengenal pasti 100 buah kolam sumber air alternatif untuk dijadikan sumber air tambahan bagi mengurangkan kebergantungan kepada tujuh empangan utama negeri.

"Keseluruhan kolam ini memberikan tambahan sumber air mentah selama tiga bulan lagi yang menjadikan kesediaan air mentah Selangor selama sembilan bulan tanpa hujan.

"Melalui inisiatif Skim Jaminan Air Mentah (SJAM), sebanyak 21 kolam-kolam bekas lombong yang berpotensi bakal dibangunkan sebagai kolam takungan air serta sumber air mentah tambahan dan dapat menjadi kolam pelbagai fungsi, sebagai kolam tebatan banjir, rekreasi dan pencairan pencemaran," katanya.