SHAH ALAM - Menteri Komunikasi pentadbiran terdahulu didakwa terlibat dengan pelbagai masalah projek sehingga terpaksa menanggung kerugian mencecah berbilion ringgit.
Tanpa menamakan menteri berkenaan, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, permasalahan itu diketahui selepas beliau memegang portfolio dalam kementerian berkenaan.
"Apa yang hendak dinyatakan di sini, apabila saya dilantik sebagai Menteri komunikasi, kita dapati banyak masalah ditinggalkan dan terpaksa diselesaikan.
"Ada projek yang diluluskan seminggu sebelum Parlimen bubar. Bila kita teliti, pejabat pengurusan projek pun tidak ada, jumlah berbilion ringgit,” katanya ketika Konvensyen Perpaduan Lembah Pantai 2024 menerusi siaran di Facebook pada Sabtu.
Fahmi berkata, pentadbiran kementerian di bawah Kerajaan Perpaduan diyakini berfungsi dengan baik kerana mempunyai asas kepercayaan dan wujud kesefahaman dalam kalangan kepimpinan.
Menurutnya, pemilihan menteri-menteri dalam kerajaan pada hari ini juga dibuat atas restu dan keputusan parti masing-masing.
"Kalau sebelum ini apa yang berlaku dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR), ramai menteri dilantik bukan daripada senarai parti tidak mendapat restu. Itu sebabnya orang-orang yang dilantik telah mengkhianati parti.
"Malah kalau kita lihat ada satu (individu) pernah jadi hulubalang UMNO, sekarang dia yang memburuk-burukkan parti tersebut.
"Orang yang dulu menjadi Menteri Wilayah, tetapi sewaktu kita melihat dia memegang jawatan itu, macam-macam masalah berlaku,” ujarnya.
Beliau berkata, terdapat ahli parti didakwa merajuk dan bertindak keluar dari UMNO apabila Presidennya tidak memilih mereka untuk bertanding dalam pilihan raya.
"Dia kata UMNO baginya tidak penting. Dia tinggalkan (parti) dan serang secara habis-habisan.
"Dia kata seolah-olah dia maksum. Saya kesal dengan perkara ini. UMNO dan PKR sama-sama merasai pengalaman,” ujarnya.