GUA MUSANG - DAP Gua Musang pada Sabtu membuat laporan polis berhubung kenyataan yang antara lain menggelar parti itu sebagai ‘kafir harbi’ dalam sebuah ceramah sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, baru-baru ini.
Ketua Pemuda DAP Gua Musang, Nor Amin Shafiq Ismail berkata, tuduhan tidak bertanggungjawab dan berbahaya itu, yang turut tular melalui media sosial, boleh merosakkan perpaduan selain mengancam keharmonian negara yang dibina atas dasar toleransi serta hormat-menghormati.
"la menggunakan agama sebagai alat politik, sesuatu yang dilarang dan tidak boleh diterima dalam masyarakat kita yang majmuk. Kenyataan ini juga berpotensi menimbulkan ketegangan dan perpecahan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berlainan agama dan bangsa.
"Kami Pemuda Harapan meminta agar pihak polis menyiasat kenyataan tersebut di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan yang berkaitan dengan kesalahan menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan atau permusuhan atas alasan agama,” katanya.
PRK DUN Nenggiri yang ditetapkan hari mengundi pada 17 Ogos ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani mewakili Kerajaan Perpaduan dan calon Pas,Mohd Rizwadi Ismail.
Nor Amin Shafiq menggesa pihak polis agar mengambil tindakan tegas bagi memastikan budaya politik kebencian tidak berleluasa dan menyeru pimpinan anak muda pelbagai parti untuk turut sama mengecam serta membuat laporan polis agar tindakan undang-undang sewajarnya dapat diambil.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo ketika dihubungi Bernama mengesahkan pihaknya menerima laporan polis berhubung perkara itu dan siasatan lanjut akan dilakukan.
"Kita akan siasat di bawah Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam atau kepada mana-mana golongan awam serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam satu artikel yang dimuat naik di laman sesawang rasminya berkata tindakan melabel seorang warganegara dengan gelaran kafir harbi akan membawa implikasi buruk dan dahsyat kerana mereka halal untuk diperangi, keamanan mereka tidak akan dijaga serta keselamatan harta benda mereka tidak akan dijamin.
"Label ini tidak boleh ditujukan kepada mana-mana warganegara bukan Islam di sesebuah negara yang menghormati perlembagaannya dan mematuhi undang-undangnya.
"Oleh yang demikian, perbuatan melabelkan sebahagian warganegara sesebuah negara dengan label sebegitu merupakan perbuatan yang ekstrem dan keterlaluan. Adapun jika ingin melihat konteks kafir harbi pada zaman sekarang maka istilah itu boleh dirujuk kepada kumpulan Zionis dan Israel," menurut artikel itu. - Bernama
Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di sini!.