ALOR SETAR - Memikirkan nasib dua anak yang masih kecil, wanita yang ditolak jatuh gaung dalam kejadian berhampiran Kilometer (KM) 31.2 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, pada 27 Julai lalu nekad merangkak naik untuk menyelamatkan diri.
Detik hitam itu diceritakan kembali oleh mangsa kepada Ketua Operasi Ambulans Murtadha Dakwah Centra (Madad), Muhammad Ridzuan Osman, 36, yang diberi kepercayaan untuk menghantar mangsa pulang ke kampungnya di Kelantan selepas dibenarkan keluar dari Hospital Taiping, Taiping pada Sabtu.
Muhammad Rizuan berkata, mangsa yang berusia 32 tahun itu mengambil masa selama sembilan jam untuk naik semula ke atas dalam keadaan cedera parah di tulang belakangnya.
"Dia mengalami kecederaan tulang belakang patah, pecah dan retak, pinggang patah, tulang pinggul retak, patah tangan serta kecederaan pada paru-paru selepas ditolak jatuh gaung oleh suaminya kira-kira jam 5 pagi.
"Disebabkan beliau ingatkan anak-anaknya yang masih kecil berusia lima bulan dan enam tahun, beliau berusaha juga untuk selamatkan diri," katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.
Menurutnya, mangsa dipercayai ditolak ke dalam gaung sedalam lebih 10 meter sehingga menyebabkan keadaan tulang belakang L1-L5 mengalami patah, pecah, serta retak dan kecederaan lain.
"Dua anak dipercayai turut berada bersama dia dan suspek dalam kereta ketika kejadian," ujarnya.
Muhammad Ridzuan turut berkongsi proses menghantar pulang mangsa yang dikendalikan oleh pasukan ambulans percumanya di Facebook Murtadha Dakwah Centre pada Sabtu.
Sebelum ini, suspek kes itu direman tujuh hari bermula 6 Ogos lalu sehingga Isnin ini bagi disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu kerana cubaan membunuh.
Suspek berjaya ditangkap pada 31 Julai lalu oleh pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling, Kedah kerana pembabitannya dalam kes mencederakan abang kandungnya.
Suspek kemudiannya ditangkap semula oleh polis IPD Gerik pada 5 Ogos lalu iaitu sejurus siasatan kes mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan cedera di IPD Baling selesai.
Suspek disyaki cuba membunuh mangsa dengan cara mencekik serta menolak mangsa ke gaung yang difahamkan sedalam 10 meter hingga mengalami kecederaan yang difahamkan termasuk patah dan retak tulang belakang.
Mangsa ditinggalkan di tempat kejadian dan dilapor merangkak naik ke arah jalan raya susulan kecederaan dialaminya sebelum dia ditemui orang awam yang lantas menghubungi polis.
Mangsa kemudian dibawa oleh ambulans ke Unit Kecemasan, Hospital Gerik untuk diberi rawatan awal susulan didapati mengalami kesan calar, luka serta lebam pada tubuh badan sebelum dihantar menerima rawatan di Hospital Taiping.