[DIKEMAS KINI] ATLET berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom menampilkan kayuhan bertenaga untuk menamatkan saringan ketiga 'repechages' di kedudukan pertama di Velodrom Saint Quentin.
Shah Firdaus mengungguli pusingan itu dengan catatan 70.08 saat (s).
Pelumba negara itu beraksi di 'repechages' selepas menamatkan saringan awal pada kedudukan ketiga di belakang pelumba Trinidad and Tobago, Nicholas Paul serta pelumba Poland, Mateusz Rudyk.
Namun, Shah Firduas dilucutkan posisi terbabit sekali gus menyaksikan dia berada di kedudukan keenam namun ia tidak memberi kesan untuknya beraksi dalam saingan 'repechages'
Sebagai rekod, dua teratas pada setiap saringan akan melayakkan diri ke pusingan suku akhir yang berlangsung Ahad jam 5.29 petang.
Terdahulu, nasib malang menimpa jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang selepas disingkirkan seawal saringan pertama.
Ia susulan tindakan Azizulhasni cuba membuat gerakan awal dengan memotong pelumba lain sebelum pacer keluar daripada trek.
Azizulhasni dikesan turut melepasi pacer dan perlumbaan itu kemudiannya dibatalkan dengan pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2020 dan gangsa Rio 2016 itu disingkirkan daripada saingan.