Lelaki lakukan 'sumpah pocong' buktikan tidak terlibat kes bunuh, rogol

Iklan
Saka Tatal, 23, ketika melakukan perbuatan itu.

JAKARTA - Seorang lelaki yang selesai menjalani hukuman penjara susulan dikaitkan dengan kes pembunuhan Vina di Cirebon pada 2016, tampil melakukan perbuatan 'sumpah pocong' bagi membuktikan bahawa dia tidak terlibat dalam kes tersebut.

Lelaki yang dikenali sebagai Saka Tatal,23, itu melakukan perbuatan itu di selepas selesai menunaikan solat Jumaat.

Iklan
Iklan

Perbuatan itu disaksikan oleh warga sekitar dengan dipimpin oleh jemaah Padepokan Amparan Jati Cirebon.

Sumpah pocong adalah sebuah amalan tradisional di setengah kawasan di Indonesia, individu yang melakukannya akan dimandikan dan dibalut dengan kain kafan tidak ubah seperti jenazah.

Iklan

Individu itu kemudiannya perlu melafazkan sumpah atau berjanji di hadapan orang ramai bahawa dia menafikan tuduhan yang terkait dengannya, lazimnya ia dilakukan bagi membersihkan diri.

Saka meringkuk di dalam penjara selama lapan tahun di atas tuduhan tersebut.

Iklan

Dia mula dipenjarakan ketika berusia 15 tahun dan kini sudah berusia 23 tahun.

Sementara itu menurut Saka, dia berasa lega selepas selesai melakukan perbuatan tersebut.

"Alhamdulillah, saya lega sekarang, dari dahulu saya sangat kesal dengan tuduhan masyarakat berkaitan kes ini.

"Saya tiada cara lain bagi membuat masyarakat percaya kepada saya kecuali dengan melakukan 'sumpah pocong'," katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Jelasnya, keluarganya turut merestui perbuatannya itu bagi tujuan membersihkan diri.

"Saya bersumpah bahawa saya tidak melakukan pembunuhan atau pemerkosaan terhadap Vina," katanya lagi.

Kerana kisahnya yang tragis, kes pembunuhan Vina diangkat menjadi filem. Filem itu berjudul, ‘Vina: Sebelum 7 Hari’.

Kisah Vina pernah menggemparkan Indonesia pada 2016, kerana dia dibunuh dengan kejam.

Vina atau nama penuhnya, Vina Dewi Arsita,16 tahun, yang juga seorang ratu cantik, dibunuh di kawasan Jambatan Talun, Cirebon.

Vina diperkosa dan dibunuh secara kejam oleh sekumpulan 11 anggota penunggang motosikal samseng.

Lebih mengerikan lagi, tubuh Vina digilis motosikal beberapa kali sehingga patah tangan dan kakinya serta wujud banyak luka kecederaan yang menakutkan.

Sementara itu menurut seorang penceramah Indonesia, Taufiqurrahman mengatakan dalam Islam tidak ada amalan sumpah pocong.

Menurutnya, proses perbuatan sumpah pocong tersebut boleh sahaja merosak akidah Islam.- Agensi