TINDAKAN jaguh trek berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang yang memotong pacer dalam acara keirin menyaksikan penyertaannya dibatalkan dalam saringan pertama di Sukan Olimpik Paris 2024.
Insiden berlaku di Velodrom Saint Quentin ketika pelumba berusia 36 tahun itu dikesan memintas derny iaitu basikal elektrik bertindak sebagai pacer sebelum garisan permulaan.
Kejadian tersebut sekali gus memaksa saringan satu dimulakan semula tanpa kehadiran Azizulhasni.
Hanya lima pelumba memulakan perlumbaan dan saringan tersebut diungguli pelumba Australia, Matthew Glaetzer.
Walaupun disingkirkan, Azizulhasni atau dikenali dengan gelaran ‘The Pocket Rocket Man’ tetap akan dikenang sebagai wira yang banyak berkorban demi mengharumkan nama negara di persada dunia.
Sepanjang kariernya, jaguh negara menerima pelbagai pencapaian terbaik antaranya pingat emas kategori keirin di Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan gangsa semasa Sukan Olimpik Rio 2016.
Selain Sukan Olimpik, Azizulhasni juga pernah memenangi pingat emas kategori sama di Kejohanan Dunia UCI 2017 di Hong Kong dan kemenangan sama di Sukan Asia Guangzhou 2010.
Bagi Sukan Komanwel pula, Azizulhasni memenangi pingat perak kategori keirin pada 2014 dan gangsa untuk pecut individu di New Delhi pada 2010.
Beliau antara pelumba basikal trek terbaik di dunia dengan rekod pencapaian yang cemerlang di peringkat antarabangsa.
Kejayaannya itu bukan sahaja membanggakan rakyat Malaysia, malah sudah mengangkat sukan berkenaan ke tahap yang lebih tinggi.