DUNGUN - Seorang penternak terpaksa menanggung kerugian lebih RM10,000 apabila sembilan ekor kambing baka Boer yang dipeliharanya mati dipercayai termakan rumput beracun.
Mina@Zulkifli Mat Husin, 57, dari Kampung Besol Lama, Bukit Besi dekat sini berkata, haiwan tersebut disedari tidak aktif dan mati secara berperingkat sejak Rabu lalu.
Menurutnya, sebelum itu, haiwan itu dikesan meragut rumput di kawasan tanah lapang bersebelahan kandang kambing miliknya.
"Saya tidak tahu ada antara kawasan itu yang rumputnya telah diracun. Saya hanya sedar kambing saya termakan rumput itu selepas seekor demi seekor tidak bermaya dan mati.
"Saya ada cuba beri beberapa ubat tetapi semuanya tidak dapat diselamatkan," katanya ketika ditemui pemberita pada Sabtu.
Zulkifli berkata, kambing tersebut dipelihara di dalam kandang dan akan melepaskan haiwan tersebut untuk meragut rumput di sekitar kawasan itu.
"Biasanya saya pantau pergerakan kambing-kambing ini, malangnya ketika hari kejadian, saya tidak sempat pantau ia makan rumput kerana sibuk menghalau monyet yang memasuki kebun.
"Rasa terkilan juga sebab ada antara kambing yang berusia lingkungan setahun hingga lima tahun telah sedia untuk dijual.
"Sehingga semalam (Jumaat) sebanyak sembilan ekor kambing telah mati dan pagi ini masih ada beberapa ekor kambing saya yang tidak sihat, tidak lalu makan dan kurang aktif," ujarnya yang memelihara 50 ekor kambing pelbagai baka.
Kejadian menimpa haiwan ternakan Zulkifli mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman yang turut meluangkan masa melawat kandang haiwan tersebut.
Zulkifli yang telah berpengalaman 15 tahun memelihara kambing berkata, kejadian itu kali kedua berlaku sepanjang menceburi bidang ternakan.
"Sebelum ini, dalam 10 tahun lalu kira-kira 16 ekor lembu yang saya pelihara mati, juga akibat kes yang sama iaitu dipercayai termakan rumput yang diracun," katanya.