KUALA PILAH - Mengenakan busana Melayu lama dengan mengayuh basikal klasik dihiasi Jalur Gemilang antara yang ditonjolkan sekumpulan pengayuh dari Kelab Basikal Tua Negeri Sembilan bagi menyemarakkan sambutan bulan kemerdekaan.
Pemakaian busana berkenaan juga dilihat seakan-akan mengimbau kenangan lepas selain penggunaan basikal tua yang menjadi kenderaan utama rakyat sebelum negara mencapai kemerdekaan.
Presiden kelab berkenaan, Amran Yahya yakin dengan kayuhan seperti itu dapat membangkitkan nostalgia kemerdekaan dan menyemarakkan semangat kenegaraan dalam kalangan orang ramai.
"Begitu juga dengan basikal tua ini ada di antaranya digunakan sejak tahun 1940-an, keadaannya masih baik," katanya ketika ditemui pemberita pada Sabtu.
Sebelum itu 10 ahli kelab tersebut membuat kayuhan dan menyerahkan Jalur Gemilang kepada Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan sebagai simbolik Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Daerah Kuala Pilah di Dataran Kuala Pilah, Melang.
Turut berlangsung pada hari sama Program Jiwa Komuniti Madani Parlimen Kuala Pilah dan Hari Informasi Pertanian.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Penerangan (Japen) Negeri Sembilan, Azrul Hasan dalam ucapannya berkata, sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024, Japen telah melaksanakan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2024 yang menelusuri setiap negeri di semenanjung Malaysia.
"Konvoi ini telah singgah di Negeri Sembilan pada 22 dan 23 Julai lalu di beberapa daerah di sini bagi menzahirkan semangat patriotisme menjelang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024.
"Selaras dengan itu, Kementerian Komunikasi telah mengumumkan inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang. Inisiatif ini bertepatan untuk menterjemah semangat patriotik dan rasa bangga menjadi anak Malaysia.
"Kibarkanlah Jalur Gemilang yang cukup sifatnya, tidak koyak, tidak uzur dan tidak lusuh kerana bendera ialah gambaran diri kita sebagai warganegara yang bertanggungjawab,"katanya.