TEGAK 2024 angkat seni budaya tempatan

Iklan
Mohd Amran (empat dari kanan) ketika majlis penyampaian hadiah kepada johan pertandingan perahu panjang.

HULU TERENGGANU - Temasya Tranung Kite (TEGAK) 2024 berjaya menarik kedatangan lebih 15,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya di Dataran Kuala Berang dekat sini.

Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd Amran Mohd Haris berkata, penganjuran program itu bertujuan mengangkat seni budaya tempatan untuk tatapan generasi masa kini selain membantu mempromosikan industri pelancongan budaya kepada pelancong tempatan mahupun antarabangsa.

Mohd Amran (empat dari kanan) ketika majlis penyampaian hadiah kepada naib johan pertandingan perahu panjang.

Iklan
Iklan

"Program TEGAK 2024 ini adalah program pelancongan budaya yang dikenal pasti oleh JKKN di mana tujuan utama ialah untuk mengangkat seni budaya masyarakat setempat.

"Sebenarnya di peringkat JKNN, sudah hampir 10 tahun kita tidak laksanakan program kebudayaan berskala besar. Jadi pada tahun ini kita mulakan kembali program-program yang mana tunjang utamanya ialah kebudayaan serta menyokong industri pelancongan.

Iklan

"Kita sedia maklum tahun 2026 ialah tahun Melawat Malaysia maka pengisian program dan pelaksanaan TEGAK 2024 ini adalah memberi fokus untuk membantu mempromosi selain menggalakkan pelancongan tempatan serta antarabangsa bagi menyokong program tahun Melawat Malaysia 2026 nanti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian pada Majlis Perasmian TEGAK 2024 di Dataran Kuala Berang dekat sini pada Sabtu.

Iklan

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Mohd Yusri Mohd Yusoff dan Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim.

Mohd Amran

Mengulas lanjut, Mohd Amran menyatakan pihaknya melihat daerah Kuala Berang merupakan salah satu lokasi yang berpotensi untuk dilaksanakan program pelancongan kebudayaan selain TEGAK 2024 juga boleh dijadikan sebagai acara tahunan di negeri Terengganu.

"Kita mengenal pasti elemen kebudayaan sebagai teras bagi membantu industri pelancongan. Kalau dilihat menerusi TEGAK 2024, antara pengisian utama seperti pertandingan perahu panjang, pertandingan gasing, persembahan kesenian setempat yang mana kita percaya pengisian-pengisian seumpama ini dekat dengan masyarakat sebenarnya.

"Jadi sebab itu kita mahu mewujudkan kesedaran dengan mengadakan program seperti TEGAK 2024 ini untuk membantu industri pelancongan budaya dan pada masa sama memartabatkan kembali kesenian tradisi," jelas beliau.

Dalam pada itu, Mohd Amran menyatakan TEGAK 2024 merupakan projek perintis untuk melaksanakan program pelancongan kebudayaan berskala besar di negeri lain pada masa.akan datang.

"Terengganu iaitu di Kuala Berang ialah percubaan permulaan untuk mengangkat kesenian masyarakat setempat.

"Saya yakin dengan sambutan amat menggalakkan khusus masyarakat setempat untuk pertandingan diadakan, kita percaya kerajaan Terengganu akan menyokong penganjuran TEGAK ini dijadikan sebagai program tahunan selain program sedemikian turut diadakan di setiap negeri di Malaysia bermula dari Perlis sehingga ke Sabah," ujarnya.

Kementerian Pelancongan Seni Dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Terengganu dengan kerjasama Persatuan ATMA Seni Budaya Terengganu menganjurkan Temasya Tranung Kite (TEGAK) 2024 pada 8 sehingga 10 Ogos.

Karnival yang bermula jam 9 pagi sehingga 11 malam itu diadakan di pesisir sungai, Dataran Kuala Berang.