TEMPOH 10 minit terakhir menyaksikan pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim beraksi buat kali pertama ketika perlawanan Liga Super menentang Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) disiftkan cukup penting untuk dia kembali bangkit.
Bagaimanapun, pengendali skuad Gergasi Merah, Nidzam Jamil berkata, semua pihak perlu terus memberikan ruang dan masa untuk melihatnya kembali ke tahap sebenar permainan.
"Saya tidak kata akan menyelesaikan masalah tetapi akan membantu perkembangan untuk Selangor dan pasukan negara.
"Kalau kita tak bagi peluang ini saya tidak tahu berapa lama lagi. Mungkin sentuhan dia ada sedikit berkarat, ia normal untuk dia yang melalui musibah. Dia juga hampir jaringkan gol tetapi bola terkena palang," katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.
Dalam aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling (MBPJ) tersebut, skuad bimbingan Nidzam menghadiahkan kemenangan buat penyokong setelah menewaskan KDN FC 2-0.
Kemasukan Faisal yang sebelum ini menjadi mangsa simbahan asid pada Mei lalu diiringi sorakan dan tepukan lebih 7,400 penonton bagi menyemarakkan lagi semangat pemain Selangor yang terus mendominasi perlawanan sehingga wisel penamat.
Malah pemain yang berasal dari Pulau Pinang itu memberi impak segera buat skuad Gergasi Merah, namun tandukannya pada minit ke-87 terkena palang gol.
Dalam pada itu, mengulas mengenai kemenangan tersebut, Nidzam mangakui agak sukar diperolehi melihatkan keupayaan KDN FC bertahan dengan baik.
"Kita ada masalah untuk memecahkan sistem mereka. Saya puji Kelantan kerana mereka bertahan dengan baik dan berdisiplin.
"Ia satu cabaran kepada kami dan pada separuh masa kedua saya gembira apabila kita berjaya jaringkan gol," katanya.