Kepelbagaian adalah kekuatan

Iklan
Gambar hiasan - Foto 123RF

MALAYSIA tersohor di persada dunia dengan keunikan dan keistimewaan dengan wujudnya kepelbagaian dalam kalangan rakyatnya.

Kepelbagaian ialah sesuatu keadaan atau suasana yang diwarnai oleh pelbagai ciri dan elemen yang hadir serentak dalam satu masa yang sama.

Iklan
Iklan

Sementara persamaan dan perbezaan pula biasanya merujuk kepada perbandingan satu lawan satu.

Apabila terdapat satu elemen persamaan yang menghubungkan seorang individu dengan seorang yang lain, namun dalam masa yang sama elemen tersebut membezakan pula dia dengan individu yang seorang lagi, maka wujudlah apa yang dipanggil kepelbagaian, kerencaman dan kemajmukan.

Iklan

Ciri-ciri kepelbagaian manusia meliputi jenis personaliti, usia, jantina, keupayaan fizikal, bangsa keturunan, kumpulan etnik, warna kulit, bahasa pertuturan, status ekonomi dan banyak lagi.

Terdapat ciri-ciri yang telah ditentukan tuhan dan manusia tiada kuasa untuk memilihnya seperti tahun dan tempat kelahiran, warna kulit dan etnik keturunan, latar belakang keluarga yang membesarkannya dari kecil. Namun terdapat pula ciri-ciri yang boleh ditentukan sendiri oleh pilihan manusia seperti tahap pendidikan, status perkahwinan, mahu jadi kaya atau terus miskin, bingkas berusaha atau mahu tinggal dalam zon selesa.

Iklan

Kepelbagaian adalah tanda kebesaran ciptaan ALLAH SWT yang Maha Agung dan Maha Berkuasa. Kepelbagaian diuruskan melalui tiga sikap utama.

Sikap yang pertama, manusia menolak kepelbagaian dengan menzahirkan kebencian secara terang-terangan. Kepelbagaian dianggap sebagai satu ancaman dan liabiliti yang merosak lagi berbahaya kepada diri, keluarga, masyarakat malahan negara.

Melalui sikap kedua, kepelbagaian diterima dengan sifat toleransi dan bertolak ansur secara luaran, namun hakikatnya setiap kelompok masih menganggap mereka lebih baik daripada kelompok lain. Masih terdapat perasaan curiga dan unsur tidak percaya yang terselindung, yang mudah dieksploitasi dan dijadikan punca konflik dan pertelingkahan.

Sikap ketiga pula menganggap kepelbagaian adalah unsur kekuatan dan peluang untuk menggabungkan potensi dan bakat yang ada dalam diri setiap individu yang datang dari latar belakang pendidikan, pengalaman dan kebolehan yang berbeza.

Secara fitrahnya, manusia sememangnya merasa lebih selamat berada dalam zon selesa yang berada dalam kawalan masing-masing.

Apabila manusia berada dalam kelompok yang sama dan homogenus, mereka merasa lebih berkeyakinan untuk berinteraksi sesama sendiri.

Namun apabila bersama dengan kelompok yang mempunyai ciri-ciri yang berlainan, manusia mula merasa kurang selesa dan curiga.

Apabila berinteraksi dengan kelompok yang dianggap lebih berkebolehan dan berdaya saing pula manusia mudah merasa terancam, sering bertindak menjauhkan diri dan memusuhi kelompok tersebut.

Saling berkenalan

Persepsi negatif terhadap kepelbagaian kelompok manusia ini mengundang sikap benci-membenci, bertindak berat sebelah, melakukan diskriminasi dan keganasan, malah boleh memuncak kepada persengketaan yang berlarutan.

Perasaan curiga dan prasangka hanya boleh diatasi apabila manusia bersedia untuk saling berkenalan dan belajar mendalami lebih banyak tentang aspek latar belakang kelompok yang lain. Ibarat pepatah Melayu, tak kenal maka tak cinta.

Selepas sekian lama menjalin interaksi dan membina jambatan persahabatan dalam kalangan masyarakat majmuk, sikap yang paling perlu dipupuk adalah menghargai kepelbagaian sebagai kekuatan yang mampu meningkatkan masyarakat ke tahap kemajuan yang lebih tinggi.

Ia berlaku apabila setiap ahli masyarakat mengetengahkan ciri-ciri positif yang dimiliki dan menghasilkan kreativiti serta inovasi sebagai penyelesaian masalah yang dihadapi.

Usaha yang gigih perlu dimantapkan melalui sikap saling mempercayai, komunikasi yang asertif, penolakan terhadap usaha yang bertujuan memecahbelahkan masyarakat serta amalan syura yang meluas dalam kalangan lapisan pemimpin masyarakat.

Inilah tahap yang mesti diraih segera oleh rakyat Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum, budaya, agama dan tradisi sekiranya mahu melihat tanah air tercinta menjadi negara contoh dan ikon keharmonian di persada dunia!

Ayuh tenggelamkan segera suara sumbang yang cuba menakut-nakutkan kita dengan momokan dan hasutan kononnya kepelbagaian kita ini adalah ancaman dan liabiliti yang akan memporak-perandakan negara tercinta.

Naratif yang perlu diketengahkan secara tegas dan lantang dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia hari ini haruslah membawa nada dan tema positif bahawasanya kepelbagaian, kerencaman dan kemajmukan adalah kekuatan dan harapan Malaysia.

* Profesor Datuk Dr Harlina Halizah Siraj ialah Pengarah Pusat Citra Universiti Kebangsaan Malaysia (Citra UKM)