BACHOK - Polis sedang melakukan siasatan lanjut susulan kematian seorang bayi perempuan akibat lemas dalam kejadian motosikal roda tiga terbalik ke dalam tali air di Kampung Tok Belian Pengkalan Petah pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, setakat ini polis sedang mengumpul maklumat sebelum diserahkan kepada timbalan pendakwa raya.
Menurut beliau, tiga individu sudah diambil keterangan pada Sabtu iaitu pemilik motosikal, kanak-kanak berusia 12 tahun yang juga penunggang motosikal dan bapa mangsa.
"Hari ini (Ahad) bapa mangsa sekali lagi dipanggil bersama isterinya dan ibu bapa kanak-kanak berusia 12 tahun yang menunggang motosikal juga dipanggil untuk diambil keterangan," katanya.
Media sebelum ini melaporkan motosikal roda tiga yang ditunggang kanak-kanak berusia 12 tahun terjatuh ke dalam tali air mengakibatkan kesemua enam penumpang kanak-kanak terjatuh.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa Mariam Afeeya Abdul Hakim yang berusia 16 bulan ditemui di dasar sungai oleh sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bachok.
Mayat bayi itu ditemui di kedalaman empat meter pada jam 8.10 malam.
Mohamad Ismail memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.