Gencatan senjata: Malaysia sokong rundingan damai tiga negara

Iklan
Gelombang protes pro-Palestin terus melanda kebanyakan bandar utama di seluruh dunia yang membantah kezaliman rejim Zionis.

SHAH ALAM - Malaysia mengalu-alukan kenyataan bersama oleh pemimpin Amerika Syarikat (AS), Mesir dan Qatar pada 8 Ogos lalu yang menggariskan keperluan segera memuktamadkan perjanjian gencatan senjata dan membawa bantuan segera kepada penduduk Gaza.

Kementerian Luar menerusi kenyataan menegaskan, secara prinsipnya Malaysia sentiasa memperjuangkan keamanan, kestabilan serta pematuhan kepada undang-undang antarabangsa.

Iklan
Iklan

"Dalam konteks ini, Malaysia menyokong rundingan damai yang sedang dijalankan oleh AS, Mesir dan Qatar.

"Malaysia berharap perbincangan yang bakal diadakan pada 15 Ogos depan akan membuahkan hasil positif, menghalang konflik yang semakin meruncing dan mencapai penyelesaian secara aman," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Iklan

Dalam pada itu Kementerian Luar turut menggesa semua pihak untuk terus fokus, komited dan menghormati proses keamanan.

Menurutnya, Malaysia sekali lagi menuntut agar pembunuhan dan kekejaman dihentikan, gencatan senjata segera dan kekal dilaksanakan, bantuan kemanusiaan disalurkan tanpa halangan ke Gaza serta Palestin diterima sebagai ahli penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Iklan

"Sokongan teguh dan solidariti Malaysia dengan rakyat Palestin tidak berbelah bahagi.

"Ini termasuk terhadap hak mereka untuk menentukan nasib sendiri dan penubuhan sebuah negara yang merdeka serta berdaulat berdasarkan sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya," menurut kenyataan itu.