Giliran Ukraine pula 'ceroboh' Rusia

Iklan
Anggota Kementerian Situasi Kecemasan Rusia membantu penduduk yang dipindahkan dari wilayah Kursk dengan pengangkutan kereta api ke Oryol. - Foto AFP

MOSCOW - Rusia pada Sabtu memindahkan puluhan ribu penduduk dari wilayah sempadan dan melancarkan 'operasi memerangi keganasan' ketika ia cuba mengekang kemajuan kempen pencerobohan dilancarkan Ukraine.

Moscow kini berdepan situasi tidak menentu yang turut mengancam loji kuasa nuklear mereka di wilayah Kursk selepas kemaraan pasukan tentera musuh ke kawasan sempadan sejak Selasa lalu.

Iklan
Iklan

Pakar menyifatkan ia sebagai ofensif paling besar dilancarkan Kiev setelah konflik melibatkan dua negara bekas Kesatuan Soviet itu berlarutan selama lebih dua tahun.

Difahamkan, pasukan tentera Ukraine mara kira-kira 10 kilometer hingga memaksa askar Rusia membuat persediaan mengejut.

Iklan

Sementara itu, pihak berkuasa tempatan memaklumkan pemindahan segera itu melibatkan orang awam dari bandar dan perkampungan berhampiran zon pertempuran.

"Lebih 76,000 penduduk sudah dipindahkan ke lokasi selamat,” lapor agensi berita TASS memetik kenyataan jurucakap di Kementerian Situasi Kecemasan di provinsi tersebut.

Iklan

Ketika ini, bekalan bantuan penting turut dihantar ke kawasan itu selain menyediakan perkhidmatan kereta api tambahan ke Moscow bagi penduduk meninggalkan zon panas tersebut.

"Kita sudah berada di ambang perang,” kata seorang wanita sejurus dia tiba di stesen kereta api di ibu kota pada Jumaat lalu.

Kiev dikatakan masih mengekalkan taktik melancarkan operasi secara rahsia malah Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy tidak menghebahkan ofensif pasukan tentera mereka yang telah menggugat barisan hadapan musuh.

Selepas lima hari, Zelenskyy akhirnya membuka mulut dan mengucapkan terima kasih kepada pasukan tentera terlibat kerana berjaya memberi tekanan kepada Moscow.

Askar Rusia dalam satu kenyataan juga mengesahkan pertempuran sengit masih berlangsung di zon tersebut setelah kira-kira 1,000 anggota tentera Ukraine merentasi sempadan bersama 20 kenderaan perisai dan 11 kereta kebal.

Ketika konflik semakin meningkat, kedua-dua pihak bertelagah itu terus memperhebatkan kempen serangan udara yang menyasarkan kemudahan penting dan kini ia mula membedil kawasan penempatan penduduk. - AFP