MEMANG sehari dua ini ada sebab untuk kita berwaspada dan berasa curiga terhadap kemasukan pelancong dari China.
Meskipun pengunjung dari negara Tembok Besar itu dialu-alukan untuk mencapai sasaran 30 juta pelancong pada 2020, beberapa sekatan mula dikuatkuasakan ke atas mereka.
Kemudahan visa ke atas pelancong China disekat buat sementara, kemudahan-kemudahan lain juga dihadkan. Mereka tidak boleh masuk semudah sebelum ini.
Syak terhadap kemasukan warga China kini lebih daripada sekadar kebimbangan beberapa siri jenayah yang melibatkan mereka sebelum ini, terutama penipuan menerusi online scam.
Pelancong dari Tanah Besar itu kini lebih ditakuti kerana Koronavirus Novel 2019 atau disebut juga ‘2019-nCoV’.
Virus maut yang mula dikesan di wilayah Wuhan pada akhir Disember lalu tiba-tiba menjadi wabak yang mengancam dunia.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sendiri mengakui telah tersilap menilai virus maut dari China. Pertubuhan dunia itu tidak menyangka kesannya seburuk ini.
Perangkaan terkini Suruhanjaya Kesihatan Negara China – setakat 28 Januari – menyebut 4,515 kes virus itu disahkan dan jumlah kematian meningkat kepada 106 orang.
Memang kita perlu bimbang, dan sentiasa berjaga-jaga terhadap virus maut itu. Kita tidak mahu wabak berkenaan menular di keliling kita sehingga menjadikan kehidupan tidak tenteram.
Tetapi kita tidak sepatutnya berasa panik dan hidup dalam ketakutan sepanjang 24 jam. Kita tidak perlu mengurung diri di rumah kerana bimbangkan virus tersebut.
Kita perlu berwaspada, tetapi tidak perlu gubra tak tentu hala. Keadaan masih terkawal. Setakat semalam belum ada kematian akibat virus berkenaan di tempat kita.
Seperti dilaporkan media hanya seorang pesakit disahkan positif koronavirus di Kedah, dan kini sedang dirawat di wad pengasingan Hospital Sultanah Maliha, Langkawi. Selain kes di Kedah itu tidak ada kes dikesan di mana-mana wilayah kita.
Sementara pihak berkuasa sedaya upaya menyekat penularan wabak, termasuk mengenakan saringan ketat di pintu-pintu masuk ke negara ini, rasa bimbang dan panik dicetuskan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Ada pihak sengaja menimbulkan panik dengan menyebarkan khabar palsu di media sosial.
Tangan-tangan gatal menularkan pelbagai kepalsuan untuk sengaja menimbulkan suasana tidak tenteram dalam kalangan orang ramai.
Kerana berita palsu, Pengarah Kesihatan Pahang Dr Bahari Awang Ngah terpaksa menafikan dakwaan terdapat satu jangkitan virus 2019-nCoV yang dikatakan dirawat di Hospital Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) di Kuantan. Beliau berkata dakwaan yang dimuat naik di Facebook adalah tidak benar.
Masalah di tempat kita ialah orang ramai lebih mempercayai maklumat palsu yang tular di media sosial daripada info sebenar yang disiarkan media rasmi.
Dalam isu ini masing-masing hendak menjadi penyebar utama maklumat palsu dengan menularkan apa yang tidak betul.
Mereka tidak menghiraukan kesahihan fakta, apa yang penting mereka ingin menjadi orang pertama menyebarkan maklumat palsu.
Pengendali dan pemilik media sosial tidak bertanggungjawab ini sengaja menimbulkan keresahan umum, sehinggakan hal-hal kematian pun dibuat mainan.
Pihak berkuasa telah mengambil tindakan terhadap golongan tidak bertanggungjawab ini, tetapi makin banyak berita palsu ditularkan.
Seperti dilaporkan media, satu kumpulan sembang WhatsApp dan tiga akaun Facebook sedang disiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana disyaki menyebarkan khabar angin dan berita tidak sahih berhubung penularan wabak novel koronavirus (2019-nCoV).
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed, isu wabak 2019-nCoV menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Katanya, orang ramai tidak perlu menjadi jaguh di internet atau mensensasikan isu itu, atau berdepan dengan hukuman berat sekiranya disabitkan kesalahan.
Memang kita patut berwaspada, tetapi jangan mudah sangat mempercayai berita palsu. Penyebar maklumat palsu patut dikenakan tindakan tegas.