BEIRUT - Pejuang Hizbullah melancarkan serangan balas buat pertama kali menyasarkan kedudukan Israel pada Sabtu.
Sasaran tersebut ialah pangkalan tentera Michve Alon yang dikenal pasti sebagai lokasi penempatan anggota rejim Zionis dan kemudahan penyimpanan kecemasan berhampiran bandar Safad, utara Israel.
Iklan
Iklan
"Kami berjaya membedil markas musuh dengan hujan dron,” ujar jurucakap gerakan yang disokong Iran itu.
Ofensif itu dilancarkan sehari selepas Israel mengebom kenderaan dinaiki komander Briged al-Qassam, Samer al-Hajj di bandar Sidon.
Hamas turut mengesahkan seorang lagi pemimpin mereka gugur syahid di tangan Israel.
Hizbullah sekali lagi menegaskan serangan balas tersebut sebagai tanda solidariti dengan penduduk Palestin di Genting Gaza yang terpaksa hidup menderita akibat kezaliman rejim Zionis sejak lebih 10 bulan lalu.
Ketika ini, kebimbangan semakin meningkat jika Perang Lubnan-Israel pada 2006 kembali tercetus selepas proksi Teheran itu berikrar mahu mempertahankan Beirut dan menuntut bela kematian komander kanan, Fuad Shukr dan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh pada akhir bulan lalu. - Agensi