KEMAMAN -"Arwah sempat makan bersama dan bersikap seperti biasa sebelum keluar rumah selepas zohor semalam (Sabtu).
"Kami pun tidak menyangka itu detik terakhir bersama arwah sebelum dia ditemui lemas dalam tragedi bot karam itu," kata Roziana Ali, 41, isteri kepada Shahril Ismail, 50, yang terkorban dalam tragedi bot karam di Perairan Kemaman pada Ahad.
Roziana dari Kampung Bukit Kuang di sini berkata, suaminya ada memberitahu diajak rakan bernama Duan untuk menghantar sekumpulan pemancing dengan menaiki bot.
"Katanya hanya ganti orang dan memberitahu tujuannya itu sehari sebelumnya (Jumaat).
"Saya tidak menghalang atau bertanya lebih lanjut kerana sebelum ini dia pernah bersama rakannya itu menghantar pemancing memancing di perairan Kemaman," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kemaman di sini pada Ahad.
Roziana berkata, kejadian menimpa suaminya dan kumpulan pemancing yang dibawa hanya diketahui kira-kira jam 10 pagi selepas maklumat itu tersebar melalui aplikasi Whatsapp.
"Anak saudara menerima berita itu melalui satu kumpulan Whatsapp dan memaklumkan kepada kami.
"Memang terkejut dan langsung tidak menyangka kejadian itu boleh berlaku namun berdoa agar dia yang ketika itu dilaporkan hilang selamat," katanya.
Dia berkata, kira-kira jam 2 petang anak saudaranya memberitahu arwah dijumpai lemas.
Arwah meninggalkan empat anak berusia 7 hingga 25 tahun.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan mayat Shahril dijumpai kira-kira jam 1 tengah hari di lokasi lima batu nautika dari lokasi kejadian di perairan Kuala Kemaman.
Mayat mangsa tiba di jeti sekitar jam 2.45 petang dan dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk proses bedah siasat.
Dalam tragedi itu, mangsa pertama dikenali sebagai Siti Zamimah, 26, dijumpai jam 7 pagi bersama lima individu yang terselamat.
Setakat ini dua lagi mangsa yang masih hilang dikenali sebagai Yussoff, 66, dan Aina Husna Mohamad Husani, 25.
Lima mangsa terselamat Saipul Ridzuan Osman, 50; Rosnawi Harun, 50; Mat Ali Alahan, 66; Haziah Harun, 63 dan Ain Farhana Mohamad Husani, 30.
Kejadian dipercayai berlaku ketika bot yang membawa sembilan penumpang terbalik dan karam dipercayai dilanggar tongkang kira-kira jam 6.30 pagi pada jarak tujuh batu nautika atau 13 kilometer (km) dari kawasan perairan Kuala Kemaman.
Bot tersebut dikatakan membawa sembilan penumpang termasuk tekong, kru dan pelancong berusia lingkungan 23 hingga 79 tahun untuk memancing.