LANGKAWI - Penduduk di Pekan Kuah di sini mengambil inisiatif membina dua telaga tiub sebagai persediaan menghadapi gangguan bekalan air.
Penduduk, Baharom Mustafa, 65, berkata, kedua-dua telaga tiub itu dibina dengan kos bernilai RM2,000 setiap satu dan mengambil masa hampir satu hari untuk disiapkan.
"Penduduk kampung bergotong-royong menggali telaga berkenaan secara manual sebelum mengupah orang untuk kerja-kerja pendawaian.
"Telaga tiub sedalam 30 kaki itu menggunakan pam air yang dijana sepenuhnya menggunakan kuasa elektrik," katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, idea membina telaga tiub itu tercetus sejak dua minggu lalu berikutan kadar caj penggunaan air penduduk meningkat setiap kali musim panas.
"Daripada berbelanja lebih untuk membayar bil air, lebih baik dimanfaatkan sumber air bawah tanah yang tidak pernah kering biarpun ketika kemarau," katanya.
Baharom yang juga pesara penolong akauntan kanan berkata, telaga tiub yang dibina itu banyak membantu penduduk menjalani urusan harian terutama yang menghadapi masalah bekalan air.
Katanya, terdapat beberapa kawasan di sekitar Kuah menghadapi masalah bekalan air ekoran daripada angin monsun timur yang berlarutan.
"Lima minit pertama selepas telaga dibina, air akan dialirkan ke dalam longkang kerana keruh.
"Pun begitu, air tidak berbau tanah dan apabila jernih, barulah diisi ke dalam tangki untuk kegunaan harian penduduk," katanya.