SHAH ALAM - Peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri pada 2020 adalah berasaskan kepada dasar dan prinsip negarawan itu menghormati perlembagaan negara dan tidak dijatuhkan oleh sesiapa.
Justeru, aktivis politik, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mengingatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agar tidak berbohong dan mengambil kredit demi kepentingan politik peribadi.
Menurutnya, Ahmad Zahid tidak mempunyai kemampuan untuk menjatuhkan Dr Mahathir dan menegaskan bahawa tiada sebarang rancangan untuk mengharamkan UMNO ketika itu.
"Apabila Azmin (bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) berbalah dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan membawa 10 ahli Parlimen untuk tarik sokongan kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada waktu itu, maka Tun M terpaksa letak jawatan kerana hilang sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat. Ia bukan disebabkan oleh tindakan Ahmad Zahid.
"Selepas letak jawatan, Tun M berhasrat untuk dapatkan mandat baru dalam Parlimen tetapi malangnya pada waktu itu berlaku perpecahan di mana Tan Sri Muhyiddin Yassin (Presiden Bersatu) dan Anwar juga berebut untuk dicalonkan sebagai Perdana Menteri.
"Sekiranya semua ikhlas sepertimana yang dipersetujui pada peringkat awal untuk mencalonkan dan menyokong semula Tun M sebagai Perdana Menteri, sudah pasti beliau akan kembali menjadi PM buat kali ketiga,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendedahan Ahmad Zahid bahawa beliau adalah dalang utama menjatuhkan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri pada ketika yang cuba untuk mengharamkan UMNO.
Khairuddin ialah antara individu rapat dengan Dr Mahathir dan menyertai beberapa parti yang diasaskan negarawan itu seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Pejuang Tanahair (Pejuang).