BACHOK - Pengasuh kanak-kanak perempuan berusia 15 bulan yang maut tercampak ke dalam tali air, masih terbayang-bayang wajah anak jagaannya itu yang memintanya mengayun buaian untuk tidur pada tengah hari sebelum kejadian.
Hasliza Harun, 44, yang juga nenek saudara kepada mangsa, berkata, dia tidak menyangka Jumaat lepas merupakan hari terakhir dia menjaga Mariam Afeeya Abdul Hakim.
"Mariam Afeeya meminta saya mengayunkan buaian pada 1.30 tengah hari (Jumaat) kerana dia sukar tidur seterusnya tidak sampai seminit saya ayun buaian, dia terus lena.
"Apabila terjaga petang itu, Mariam Afeeya terus berlari ke luar rumah kerana tidak sabar untuk membonceng motosikal roda tiga bersama abang dan sepupunya yang lain,” katanya kepada pemberita di kediamannya di Kampung Pauh Sembilan, Tawang, di sini.
Menurutnya, pada 6.45 petang itu, dia mendapat panggilan telefon mengenai kemalangan motosikal roda tiga melibatkan Mariam Afeeya yang tercampak ke dalam tali air bersama abang dan sepupu-sepupunya.Kampung Tok Belian, Pengkalan Petah di sini.
"Anak lelaki saya yang berusia 12 tahun beritahu semasa kejadian, pemegang motosikal roda tiga yang ditunggangnya tidak dapat dibengkokkan menyebabkan kesemua mereka terjatuh ke dalam tali air itu,” katanya.
"Tiada siapa yang mahukan kejadian seperti ini berlaku, saya rasa khilaf kerana mereka di bawah jagaan saya dan tidak pernah berjauhan dari kawasan rumah," katanya sambil menambah telah menjaga Mariam Afeeya sejak berusia tiga bulan.
Hasliza berkata, semasa kejadian dua orang kampung berada di sekitar kawasan itu mendengar jeritan mereka dan segera menuju ke sungai.
"Kesemua mereka berjaya diselamatkan oleh orang kampung kecuali Mariam Afeeya yang ditemukan di dasar tali air pada 8.10 malam itu,” katanya.
Pada Jumaat, seorang kanak-kanak perempuan maut selepas tercampak ke dalam tali air apabila motosikal yang ditunggang seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang turut membawanya bersama lima kanak-kanak lain hilang kawalan di Kampung Tok Belian, Pengkalan Petah di sini.
Hari ini, Ketua Polis Daerah Bachok Supt Mohamad Ismail Jamaluddin dilaporkan berkata siasatan kes berkenaan akan dilaksanakan secara telus dan melibatkan pelbagai aspek termasuk pengabaian oleh ibu bapa dan penjaga. - Bernama