SHAH ALAM - Kumpulan Rumah Ngaji dari utara, selatan dan timur tidak melepaskan peluang menyertai program Malaysia #QuranHour 2024 menerusi penganjuran pada 30 Ogos ini.
Timbalan Pengerusi Persatuan Rumah Ngaji Kelantan, Norhani Mohd Affandi berkata, program berlangsung di Masjid An-Nur, Kota Kubang Labu, Wakaf Baharu, Tumpat, membawa sedikit kelainan.
"Ini kali pertama kita buat dekat masjid mukim, selalunya buat di bandar. Kali ini kita sasarkan 1,000 peserta termasuk anak yatim, orang kurang upaya (OKU), pelajar maahad tahfiz dan sekolah.
"Jemputan dibuat menerusi aplikasi WhatsApp, media sosial selain jemputan secara terus untuk bersama mengimarahkan Malaysia #QuranHour tahun ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Pengerusi Rumah Ngaji Perak, Robaatun Hadayiah Harun memaklumkan seramai 500 peserta dijangka terlibat dalam program itu di Masjid Ibnu Salam, Kampung Pengkalan Pegoh, Ipoh.
Menurut Robaatun, hebahan mengenainya dilakukan menerusi semua platform media sosial selain bantuan jemaah Rumah Ngaji untuk disebarkan kepada orang ramai.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Rumah Ngaji Johor, Profesor Madya Dr Hussin Salamon berkata, pihaknya akan melaksanakan program itu di Masjid Bandar Seri Alam, Pasir Gudang.
"Kita awal sehari atas perbincangan bersama pihak masjid kerana tarikh berkenaan jatuh pada Jumaat, mereka bimbang berlaku sedikit kecelaruan ketika majlis berlangsung.
"Jumlah penyertaan disasarkan seramai 1,000 peserta membabitkan agensi kerajaan, pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi selain penyertaan orang ramai,” ujarnya.
Tambahnya, pembabitan umat Islam dalam program ini memberi makna mengenai kesatuan atau perpaduan.
Katanya, situasi itu tidak perlu dilihat berdasarkan hubungan antara kaum tetapi cukup dengan menilai ukhuwah sesama Islam itu sendiri.
"Menerusi program yang mendalami makna al-Quran ini, insya-ALLAH ia mampu memulihkan keadaan kerana berlangsung bersama pentaddabur. Jadi, kita boleh sampaikan mesej sebenar dengan lebih jelas,” ujarnya.
Terdahulu, program yang memasuki tahun ke-10 itu bakal diadakan serentak di seluruh negara dan akan disiarkan secara langsung dari lokasi perdana di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya selama satu jam bermula jam 10 pagi.
Institusi atau organisasi yang mahu mendaftar boleh melakukannya secara dalam talian menerusi laman sesawang https://quranhour.onpay.my/order/form/registrationmqh2024 atau mengimbas kod QR disediakan.