KOTA BHARU - Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) bakal mewujudkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) dalam usaha memastikan integriti kakitangan dan perkhidmatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berkenaan berada di tahap yang cemerlang.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMBK, Wan Mohd Husni Wan Osman berkata, pelan tersebut kini di peringkat akhir untuk diperkemaskan sebelum dijangka siap pada Oktober tahun ini sekali gus kembali memberikan harapan kepada seluruh rakyat ke arah negara bebas rasuah.
"Kami di PMBK memberikan komitment yang tinggi dalam soal integriti kakitangan dalam melaksanakan perkhidmatan termasuk menjauhi gejala rasuah.
"OACP yang sedang dibangunkan ini akan bertindak sebagai garis panduan pentadbiran dan pengurusan meliputi empat cabang utama iaitu tadbir urus, perolehan, pengurusan projek serta perkhidmatan dalam PMBK,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Program Hab Integriti PMBK bersama Rasuah Busters di Tunjong, di sini, pada Ahad.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (Rasuah Busters), Norhayati Nordin.
Menurut Wan Mohd Husni, PMBK memulakan usaha memerangi rasuah dan mengutamakan integriti dalam penugasan seharian sekian lama dan melafaz ikrar bebas rasuah dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun lalu.
Rentetan itu, katanya, buat julung kali Program Hab Integriti PMBK bersama Rasuah Busters tersebut diadakan dengan penyertaaan seramai 65 pekerja membuktikan usaha berterusan pihak GLC tersebut untuk memastikan tahap integriti mereka kekal di peringkat tertinggi.
"Kami bekerja bukan semata-mata untuk PMBK tetap berkhidmat kepada rakyat Kelantan.
"Kami mempunyai rekod bersih dalam soal integriti dan mahu mengekalkannya bagi menarik kepercayaan lebih ramai pelabur domestik serta antarabangsa melabur di PMBK, maka program-program integriti seperti yang dilakukan bersama Rasuah Busters ini akan dilaksanakan setiap tahun,” katanya.
Beliau juga yakin, OACP yang dibangunkan itu nanti akan meningkatkan kepercayaan lebih ramai pelabur untuk membuat pelaburan di PMBK.
"PMBK melabur dalam pelbagai bidang antaranya hartanah, industri, emas dan mineral.
"Menjenamakan PMBK sebagai GLC bebas rasuah akan mengukuhkan lagi kedudukannya selain dapat menambah kekuatan polisi-polisi sedia ada seperti polisi hadiah, polisi pakatan integriti dan polisi perlindungan pemberi maklumat berkait kesalahan intergriti, salah guna kuasa atau penyelewengan,” katanya.
Dalam pada itu, Penceramah Rasuah Busters, Mohd Zikrul Hakim Noor, ketika ditemui berkata, pihaknya mengajak orang ramai supaya keluar dari zon selesa dan membiasakan diri melakukan perkara betul selain perlunya menerapkan nilai-nilai al-Quran dalam kehidupan.
"Ramai orang sekarang membuat pengasingan dalam kehidupan, maksudnya dalam konteks bekerja, pemikirannya dan tindakannya berbeza dengan kehidupan sebenar.
"Sedangkan jika betul-betul dihayati dan fahami, nilai integriti, jujur, amanah, ikhlas serta tanggungjawab sebenarnya terpakai di segenap lapisan kehidupan kita.
"Jadi amat pentingnya untuk ‘memperbetulkan perkara biasa, biasakan perkara betul,’ dan berpandukan al-Quran, barulah kita tidak tersadung serta kekal di landasan yang tepat walau di mana-mana atau dalam apa-apa jua keadaan sekali pun,” katanya.