Dulu atlet berbasikal, kini peniaga kopi

Iklan
Mohd Zamri mempunyai kemahiran dan kesenian kopi.

DEMI kelangsungan hidup selepas bersara dalam bidang sukan berbasikal, seorang bekas pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), kini berjaya membuka perniagaan kopi berkonsepkan kios di Jalan Sultan Zainal Abidin, Kampung Ladang Tok Pelam, dekat Kuala Terengganu.

Mohd Zamri Salleh, 40, yang juga pemenang pingat gangsa Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 itu berkata, beliau memulakan perniagaan berkenaan kerana minatnya terhadap minuman kopi meskipun tiada pengalaman dalam pembuatan minuman tersebut.

Iklan
Iklan

"Saya bersara dalam kejohanan sukan berbasikal pada 2019. Jadi ketika penghujung karier saya itu mula terfikir macam mana nak teruskan kelangsungan hidup sekiranya sudah tidak lagi menjadi atlet.

"Sebab kebanyakan atlet sebenarnya susah nak bertahan selepas karier mereka di mana ada yang tidak mempunyai simpanan sendiri selain mempunyai komitmen lain untuk membayar kereta, rumah dan sebagainya.

Iklan

"Jadi dengan simpanan yang masih ada, saya memilih untuk membuka perniagaan kedai kopi kerana minat terhadap minuman itu selain terfikir kenapa tidak hasilkan kopi sendiri dengan membuka perniagaan menjual kopi dengan jenama sendiri,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di kedai kopi miliknya yang diberi nama Zs Coffee Shop baru-baru ini.

Mohd Zamri bergambar di hadapan perniagaan kopi berkonsepkan kios miliknya.

Bagaimanapun, Zamri berkata, pada permulaan dia membuka sebuah kafe di Pasir Panjang pada awal 2020, namun perniagaan diusahakan itu hanya bertahan selama dua tahun.

Iklan

"Sudah biasa dalam perniagaan ini mesti ada pasang surut. Semasa saya buka perniagaan tersebut ia merupakan antara kedai kopi yang dibuka terawal di Terengganu dan sambutan amat menggalakkan ketika itu.

"Namun sekarang sudah ada banyak kedai kopi dibuka di Terengganu dan orang ramai sudah ada banyak pilihan.

"Jadi saya membuat keputusan untuk menutup perniagaan kafe di Pasir Panjang itu susulan parkir berhampiran kafe tersebut agak susah menyebabkan sukar pelanggan nak singgah.

"Disebabkan minat saya terhadap kopi maka dua tahun kemudian, saya membuka pula perniagaan kopi berkonsepkan kios di Jalan Sultan Zainal Abidin dan ia bertahan sehinggalah sekarang,” ujarnya.

Bekas pelumba kebangsaan itu berkata, dia hanya menggunakan modal sendiri berjumlah RM20,000 tanpa meminta bantuan daripada mana-mana agensi untuk membuka perniagaan kopi berkonsepkan kios tersebut.

"Semasa saya menyertai kejohanan berbasikal sebelum ini, saya sudah pergi merata dunia dan di setiap negara saya singgah seperti Thailand dan Australia mesti saya akan pergi ke kedai kopi di negara tersebut untuk melihat cara pembuatan kopi mereka.

Mohd Zamri menunjukkan cara penghasilan minuman kopi.

"Konsep perniagaan kopi ini adalah mesin kopi itu mesti diletakkan di bahagian depan supaya orang ramai boleh tengok pembuatan kopi itu.

"Jadi dengan minat yang ada, saya memerhatikan cara pembuatan kopi itu dan cuba hasilkan kopi itu secara 'try and error' sehinggalah ia menjadi dan ubah suai rasa kopi itu mengikut selera kita sendiri,” katanya sambil menambah menggunakan biji kopi dari Brazil dalam penghasilan kopi yang dijual dari kedai miliknya.

Mohd Zamri berkata, dia membuka sebuah perniagaan kopi secara santai kepada pelanggan meskipun tidak seperti kedai-kedai kopi lain yang mempunyai ruang yang luas dan berhawa dingin.

"Kios saya berkonsepkan terbuka walaupun tiada pendingin hawa tetapi orang ramai boleh minum kopi secara santai sambil menikmati udara segar.

Pekerja di Zs Coffee Shop sedang mengambil tempahan daripada pelanggan.

"Saya juga sasar pelanggan tersendiri iaitu pekerja pejabat di sekitar bandar Kuala Terengganu selain pemain basikal yang singgah untuk minum kopi sebelum meneruskan kayuhan mereka pada waktu petang setiap hujung minggu.

"Jadi dengan sasar pelanggan itu sendiri sudah cukup untuk bertahan dengan keadaan ekonomi tidak menentu ketika ini selain mendapat persaingan daripada kedai-kedai kopi lain.

"Disebabkan itu, saya hanya mempunyai seorang sahaja pekerja untuk menguruskan kios ini,” katanya.

Mengenai perancangan masa depan, Mohd Zamri menyatakan hasrat untuk membuka perniagaan kopi berkonsepkan kios itu di setiap daerah di Terengganu.

"Saya tak nak buka kafe yang besar dan ada pendingin hawa. Namun saya juga berharap kedai kopi berkonsepkan kios diusahakan ini turut dikenali oleh peminat kopi di seluruh negara,” jelasnya.