"SAYA dah janji nak bawa ibu bapa pergi umrah," kata pelumba berbasikal trek negara, Shah Firdaus Sahrom, yang terkilan tidak dapat membawa pulang pingat buat Malaysia dari Sukan Olimpik Paris 2024 walaupun peluang itu sudah berada di depan matanya.
Shah Firdaus terlibat kemalangan dalam perlumbaan final acara keirin Sukan Olimpik Paris 2024 di Velodrom Nasional Perancis petang semalam.
Pelumba berusia 28 tahun itu beraksi baik dan berada dalam kelompok tiga teratas tetapi menuju ke penamat, dia terlibat kemalangan dengan pelumba Jepun, Shinji Nakano, sehingga terjatuh. Dia kemudian bangkit meneruskan perlumbaan untuk menamatkannya di tempat keempat tetapi keputusan itu dibatalkan untuk Shah Firdaus menamatkan saingan di tempat keenam.
Dalam temu bual bersama wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, Shah Firadus tampil memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia tatkala harapan emas pertama turut terkubur di bumi Paris.
"Saya sudah nampak segalanya di depan mata saya, saya nampak pingat sudah 100 peratus di depan saya. Badan saya berasa baik, kaki saya berasa baik dan saya yakin sejak semalam hingga hari ini.
"Suku akhir, separuh akhir, saya berada dalam keadaan yang amat baik, saya berada dalam zon saya.
"Saya tahu saya boleh menewaskan mereka tetapi inilah keirin, segalanya boleh berlaku.
"Ini bukannya waktu untuk saya menyalahkan sesiapa. Seperti yang anda dapat lihat, pelumba terakhir boleh menang gangsa. Boleh anda bayangkannya?
"Saya memang sudah berada di situ dan ia memerlukan masa untuk saya hadamkan semua ini, ia bukan mudah," katanya. - Stadium Astro/Awani