COPENHAGEN - Perdana Menteri Denmark, Mette Frederisken mempertahankan Ketua Editor Jyllands-Posten, Jacob Nybroe dan akhbar berkenaan susulan penyiaran kartun berbaur penghinaan terhadap China.
Kelmarin, akhbar berkenaan menyiarkan kartun memaparkan bendera China yang diubah suai sehingga mencetuskan kemarahan Beijing.
Kartun itu memaparkan bintang pada bendera China diubah dan diganti dengan simbol koronavirus.
Penyiaran kartun itu dianggap tidak sensitif memandangkan wabak berkenaan telah meragut ratusan nyawa dan ribuan lagi telah dijangkiti virus maut tersebut.
Kedutaan China di Denmark dalam responnya berkata, penyiaran kartun tersebut melanggar etika kebebasan bersuara dan menyakiti perasaan rakyatnya.
Ia juga menuntut permohonan maaf akhbar berkenaan.
Bagaimanapun Frederisken berkata, akhbar berkenaan tidak melakukan sebarang kesalahan dan tidak perlu meminta maaf.
"Kami mempunyai tradisi kebebasan bersuara yang sangat kuat termasuk menghasilkan gambar atau kartun satira," katanya.
Ini bukanlah kali pertama akhbar Denmark berkenaan mencetuskan kontroversi.
Pada tahun 2005, Jyllands-Posten menyiarkan kartun Nabi Muhammad hingga mencetuskan demonstrasi di seluruh negara Islam di dunia. - Agensi