Masjid Tanah tenggelam, banjir kilat terburuk sejak 10 tahun

Iklan
Sehingga pagi ini, seramai 360 mangsa melibatkan 109 keluarga dipindahkan ke PPS berbanding 257 mangsa malam Ahad. - Foto Awani

MASJID TANAH - Penduduk di sekitar Masjid Tanah di Alor Gajah, Melaka menyifatkan banjir kilat yang melanda kawasan kediaman mereka semalam antara yang terburuk dalam tempoh 10 tahun.

Ini kerana, pergerakan air yang terlalu pantas menyebabkan ada antara mereka terkandas lebih empat jam untuk pulang ke rumah sementara menunggu air di jalan utama surut.

Iklan
Iklan

Menceritakan hal itu, warga emas Zaiton Chain, 63, yang menetap di Taman Wira Indah, Lubok China menyifatkan bencana itu sebagai luar biasa.

Katanya meskipun kediamannya belum dimasuki air, namun jalan-jalan utama ke Lubok China sudah dipenuhi air dan hanya boleh dilalui oleh kenderaan berat.

Iklan

Zaiton yang ditemui sedang menunggu bantuan untuk pulang ke rumah berkata, dia pada awalnya keluar ke pekan Masjid Tanah yang terletak kira-kira 15 kilometer untuk membeli barangan keperluan rumah.

"Saya terkejut sebab petang tadi air tidak naik lagi, di depan balai polis itu sahaja.

Iklan

"Selepas lebih kurang jam 8 malam, polis sudah menyekat jalan. Saya terkejut kerana tidak pernah teruk seperti ini.

"Sangat luar biasa air naik dengan laju begini," katanya.

Foto: Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia Negeri Melaka

Sementara itu, seorang lagi penduduk Salmah Abu Bakar, 49, yang turut terperangkap selepas gagal pulang ke rumah dan terpaksa menunggu kira-kira empat jam sementara mendapatkan bantuan.

Katanya, dia yang menetap di Lubok China berkata, pada awalnya ke Masjid Tanah untuk membantu membersihkan kediaman saudaranya yang dilanda banjir kilat semalam.

Selepas waktu Maghrib, dia ingin bergerak pulang ke rumahnya, namun gagal berbuat demikian dan menyebabkannya terpaksa berehat di sebuah stesen minyak berhampiran sementara menunggu bantuan.

Terdahulu, banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di sekitar daerah Alor Gajah itu mengakibatkan 21 kawasan terjejas dengan lapan pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.

Sehingga pagi ini, seramai 360 mangsa melibatkan 109 keluarga dipindahkan ke PPS berbanding 257 mangsa malam tadi.

Antara kawasan yang terjejas iaitu di Kampung Paya Lebar; Kampung Ramuan China Besar; Kampung Bukit Apit; Kampung Ayer Limau; Kampung Sungai Jernih; Kampung Lekok dan Kampung Paya Rumput.

Turut terjejas ialah Lampung Lubok China; Taman Masjid Tanah Ria; Taman Bandar Baru Masjid Tanah; Kampung Rantau Panjang; Kampung Berisu; Taman Awan Biru dan Taman Seri Bayu 2 & 3.

Tinjauan Astro Awani di sekitar pekan Masjid Tanah yang paling teruk terjejas dengan bencana banjir kilat semalam itu mendapati, air telah surut sepenuhnya.

Bagaimanapun sehingga jam 2 pagi tadi, paras air di kawasan sekitar Lubok China pula mula meningkat yang turut melibatkan jalan-jalan utama tenggelam sepenuhnya.