Kes tular cubaan curi motosikal di Banting tidak benar

Iklan
Tangkap layar video tular memaparkan berlaku perselisihan faham semasa proses menarik motosikal dan ia bukan kes cubaan mencuri motosikal.

KUALA LANGAT - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan kes tular seorang wanita dan kawannya yang cuba mencuri motosikal di Banting, di sini seperti yang tersebar di media sosial.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, pihaknya mengesan satu hantaran di media sosial berhubung video memaparkan seorang wanita dan rakan sekerjanya cuba mencuri motosikal di hadapan sebuah rumah pada Ahad.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, perkara itu tidak benar dan hasil semakan mendapati dua laporan polis diterima daripada seorang wanita warga tempatan pada Jumaat.

Kata beliau, wanita tersebut bekerja sebagai penarik motosikal, manakala seorang lelaki warga tempatan yang berselisih faham dalam video itu merupakan anak kepada pemilik motosikal yang hendak ditarik.

Iklan

"Kejadian ini tiada unsur jenayah iaitu cubaan mencuri motosikal," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ahmad Ridhwan berkata, wanita terlibat berusia 35 tahun manakala anak pemilik motosikal berusia 16 tahun.

Iklan

Katanya, hasil siasatan mendapati pemilik motosikal tidak membayar ansuran selama hampir satu tahun.

Menurut beliau, perselisihan faham itu berjaya diselesaikan dan kedua-dua pihak telah berdamai secara baik.

Sehubungan itu katanya, PDRM ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan berita palsu yang boleh mendatangkan kegusaran awam.

Tegas beliau, mana-mana pihak yang menyebarkan berita palsu boleh diambil tindakan di bawah undang-undang sedia ada.

..