KUALA LUMPUR - Perdana Menteri. Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin mengucapkan terima kasih kepada seluruh warga Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, Hospital Putrajaya dan Hospital Kuala Lumpur yang merawat beliau.
"Terima kasih kepada seluruh perawat, pakar dan staf perubatan Hospital Serdang, Putrajaya dan Hospital Kuala Lumpur (HKL). Alhamdulillah sihat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Isnin.
Semalam, Anwar menjalani pemeriksaan kesihatan tahunan yang dikendalikan pasukan pakar perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang.
Menurut Jabatan Kesihatan Negeri Selangor semalam, tahap kesihatan Perdana Menteri berada dalam keadaan baik dan pada tahap optimum. Beliau kekal bersemangat dan bertekad untuk terus memikul tanggungjawab bagi mengangkat darjat dan martabat negara ke peringkat tertinggi.
Dalam pada itu, rakyat Malaysia turut mengambil peluang mendoakan kesihatan dan kesejahteraan Perdana Menteri dalam ruangan komen hantaran yang dimuat naik pada Isnin.
Pengguna akaun Facebook, Fauzi Mazlan mendoakan agar Anwar sentiasa diberikan kesihatan yang baik dan kekal cergas untuk memimpin negara.
Hassan Hami pula berkongsi rasa syukur dengan perkembangan kesihatan Perdana Menteri yang baik.
"Semoga dipermudah setiap urusan dan terus sihat. Rakyat marhaen, khususnya di Malaysia sangat memerlukan kepimpinan DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim),” katanya. - Bernama